HIBURAN

Konsert Apo Nak Dikato rai lima dekad kembara Blues Gang

KUALA LUMPUR – Selepas 50 tahun, Blues Gang akhirnya muncul solo dalam persembahan berskala besar malam eksklusif konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadual pada 9 Ogos.

Teguh memperjuangkan genre blues dan rock sepanjang lima dekad penubuhan mereka, band legenda yang dikenali dengan karya kritis dan berjiwa rakyat itu memilih pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bagi melakar momen bersejarah pada malam anjuran AV Group itu.

Penyanyinya, Ito Mohd berkata, konsert ini dianggap sebagai cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang pada persembahan yang dinamakan bersempena judul lagu popular mereka, Apo Nak Dikato yang diterbitkan 40 tahun lalu.

“Secara solo, di pentas sebesar ini, konsert Blues Gang yang pertama selepas 50 tahun. Kali terakhir muncul dalam konsert berskala besar pada Konsert 2 Raksaksa Reunion pada 2011, bersama Sweet Charity.

“Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap teristimewa selepas menghasilkan 14 album. Justeru ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama bersama peminat dan penggemar blues,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Walaupun kini hanya bertiga, Blues Gang meneruskan perjuangannya bersama Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Datuk Abu Talib gitar kedua dan keyboard, selain Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut.

Pemain bass dan vokal, Jim Madasamy telah meninggal dunia pada 2018 dan kemudiannya Shaik Karim pemain dram pada Julai tahun lalu.

Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan Produksi, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket.

Konsert ini juga mendapat sokongan penajaan dari PBH Music & BLW sebagai rakan teknikal dan cenderahati kepada peminat.

Menurut Ito, konsert pada Ogos itu juga bagi memperbetulkan prasangka bahawa Blues Gang hanya tinggal nama.

“Blues Gang tidak pernah bubar walaupun kehilangan beberapa ahli diakui meninggalkan kesan mendalam buat kami. Konsert ini juga bagi menghidupkan kembali kenangan bersama, selain bertepatan dengan kelahiran single terbaru bertajuk Bincang Adik Beradik yang akan dilancarkan nanti,” katanya lagi.

Blues Gang dikenali dengan lagu seperti Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti.

Ramai yang tidak mengetahui Blues Gang mula menempa nama pada tahun 1979 menerusi album Inggeris, Anytime, Anyday dan dijangka memperdengarkan semua hits mereka dalam konsert selama hampir dua jam itu nanti.

Pengarah urusan AV Group, Zool Azri berkata, sesuai cerminan perjuangan Blues Gang yang sampai hari ini terus dikagumi kerana keutuhan identiti yang dibawa selama 50 tahun ini, satu segmen khas Melayu akan diselitkan pada malam berkenaan.

“Selain puluhan hits Blues Gang seawal 70an, segmen khas Melayu pula akan menyaksikan bagaimana alunan blues dan rock menyatu dengan Dikir Barat yang akan menampilkan Issey Gegar FM & Mat Ropi & Friends, pemuda berbangsa Cina, Adik Axiang yang akan meniup serunai Melayu serta Juliey Razak akan bermain gendang.

“Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato tidak lain adalah sebagai penghormatan kepada kugiran selegenda Blues Gang yang masih teguh dengan perjuangan, memikat penggemar dari pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat, tanpa mengira umur,” katanya lagi.

Zool berkata, peluang bekerjasama dengan kugiran selegenda Blues Gang, ibarat pucuk dicita ulam mendatang selepas sekian lama menyimpan kekaguman terhadap seniman seperti mereka.

“Ini julung-julung kalinya juga Blues Gang muncul solo pada skala sebegini, di pentas berprestij seperti Zepp Kuala Lumpur. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melakar momen indah bersama Blues Gang pada konsert Blues Gang Apo Nak Dikato,” katanya lagi.

Selain persembahan istimewa, pelbagai hadiah serta cenderahati esklusif akan dihadiahkan kepada penonton bertuah pada konsert itu nanti.

Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket konsert ini menggunakan aplikasi ATOME di ilasso tickets yang memberi pilihan bayaran ansuran kepada pembeli.

Sebagai makluman, semua ketagori tiket adalah berkerusi demi kelesaan semua peminat yang hadir.

Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 bagi Royal Box boleh didapati dengan melayari http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button