Couple raikan 30 tahun perjalanan muzik dengan konsert penuh nostalgia
KUALA LUMPUR – Kumpulan power pop tempatan, Couple, meraikan tiga dekad perjalanan muzik mereka menerusi konsert istimewa COUPLE30 yang berlangsung di Menara PT80 DBKL, semalam.
Konsert bersejarah itu menghimpunkan semua anggota yang pernah menjadi sebahagian daripada keluarga muzik mereka sejak 1995.
Vokalis Couple, Aidil Rusli berkata, malam penuh sejarah itu sebagai detik penghargaan terbesar buat komuniti peminat yang setia bersama mereka.
“Konsert ini bukan sekadar ulang tahun. Ia adalah penghargaan untuk semua yang bersama kami sejak hari pertama.
“Kami bukan band besar, tetapi komuniti yang mengangkat kami selama 30 tahun merekalah sebab kami masih di sini,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Konsert yang dianggap sebagai perayaan paling lengkap dalam sejarah kumpulan itu bukan sekadar mengimbau kembali karya-karya ikonik, malah menjadi bukti keteguhan gerakan muzik DIY yang menjadi tunjang kejayaan mereka sejak awal pembabitan dalam industri.

Couple yang ditubuhkan pada 1995 terus membuktikan bahawa sokongan akar umbi mampu mencipta fenomena tersendiri dalam dunia muzik.
Meskipun hampir tidak menerima siaran radio arus perdana, mereka tetap berjaya menjual 2,000 unit album Teenage Disc Fantastic secara manual di gig selain membina pengaruh besar melalui Friendster, Myspace sehingga era penstriman Spotify hari ini.

Album sulung mereka, Top Of The Pop, juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila dilancarkan di Amerika Syarikat dan Jepun.
Sumbangan kumpulan itu kepada perkembangan muzik tempatan turut terserlah apabila mereka menjadi antara kumpulan terawal membuka ruang kepada artis-artis muda seperti Hujan, Bunkface, Yuna, Tenderfist dan Pesawat untuk tampil di pentas-pentas awal mereka.

Semangat itu diteruskan melalui projek #TOTPcovers dan #COUPLE30covers yang memberi peluang kepada artis baharu menafsir semula lagu-lagu popular Couple.
Populariti mereka yang tidak pernah surut terbukti apabila persembahan utama di Tapaufest ASEAN pada Ogos lalu mendapat sambutan hangat daripada peminat pelbagai generasi Gen X, Milenial dan Gen Z yang sama-sama menyanyikan lagu-lagu hit seperti Tentang Kita, Now That I Can See, Lagu Cinta Untukmu, Pergi dan Malam Minggu.

Konsert COUPLE30 anjuran Petai Belalang KL turut menampilkan kumpulan muda Empty Page dan The World Ends With You sebagai pembuka tirai, selaras dengan tradisi Couple memberi ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah.
Dengan 34 lagu dipersembahkan dan kesemua bekas anggota kembali memainkan karya daripada era masing-masing bermula dari demo era 1995–2005 sehingga setiap album penuh penonton dibawa menyusuri perjalanan muzik yang lengkap, memaparkan evolusi bunyi serta identiti kumpulan itu.
Konsert semalam sekali lagi membuktikan bahawa semangat komuniti dan muzik indie terus menjadi nadi kekuatan Couple, yang kini melakar sejarah sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam dunia muzik tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








