
Kementerian Komunikasi nafi arah batal konsert (G)I-DLE & Bambam Live in Malaysia
PUTRAJAYA – Pembatalan konsert (G)I-DLE & Bambam Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini dibuat atas permintaan penganjur, dan bukan disebabkan tindakan daripada Kementerian Komunikasi.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menjelaskan, keputusan pembatalan konsert ini adalah berdasarkan permohonan daripada penganjur selepas mengambil kira justifikasi dan kepentingan semua pihak.
Jelasnya, dakwaan pembatalan kononnya disebabkan tidak mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) adalah tidak benar sama sekali.
“Mengikut rekod, kelulusan prapermohonan bagi penganjuran konsert (G)I-DLE & Bambam Live in Malaysia” sudah diperoleh pada 28 April 2025,” katanya.
Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi berkata pihak penganjur perlu membuat persiapan rapi termasuk mendapat kelulusan awal daripada pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat sebelum menganjurkan konsert melibatkan artis antarabangsa ternama seumpama ini.
Terdahulu, Live Universe Entertainment selaku penganjur dalam kenyataannya berkata, pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira aspek pematuhan kepada undang-undang tempatan selain garis panduan budaya negara ini.
Penganjur konsert itu pada masa sama turut memaklumkan akan memulangkan kembali bayaran tiket sepenuhnya melalui platform Ticket2U, biarpun keputusan itu mengundang pelbagai reaksi kekecewaan di media sosial khususnya bagi peminat K-Pop.
Ini termasuk persiapan sesetengah peminat yang sanggup terbang dari jauh untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








