BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Akta Keselamatan Dalam Talian: Enam instrumen subsidiari dikuat kuasa, MCMC lengkapkan kerangka kawal selia

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menguatkuasakan enam daripada 10 instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), dengan empat lagi instrumen termasuk satu peraturan terakhir kini dalam proses dimuktamadkan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Akta 866 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu digubal bagi memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi kawal selia terhadap kandungan memudaratkan, selain menetapkan kewajipan dan obligasi kepada Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP).

Beliau berkata, bagi memperincikan pelaksanaan dan penguatkuasaan akta berkenaan, MCMC telah membangunkan 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan, kod dan garis panduan.

“Empat peraturan subsidiari telah dikuatkuasakan serentak dengan Akta 866 pada 1 Januari 2026, iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Fi) 2025, Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Bentuk Aku Janji) 2025, Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tribunal Rayuan Keselamatan Dalam Talian) 2025 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025.

“Dua lagi peraturan subsidiari mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pengkompaunan Kesalahan) 2026 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) 2026,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta kerajaan menyatakan senarai lengkap, objektif kawal selia, kandungan utama, skop dan status terkini pembangunan 10 instrumen subsidiari di bawah Akta 866.

Menurut Fahmi, MCMC turut menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) pada 22 Mei lalu yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

Katanya, di bawah CPC, penyedia perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum penggunaan media sosial.

“Pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala kanak-kanak di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun sehingga mencapai umur minimum yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme pengesahan umur perlu dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi yang diiktiraf kerajaan seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf.

Selain itu, katanya, MCMC turut menerbitkan Garis Panduan Pemeliharaan dan Penzahiran Data Komunikasi bagi Tujuan Penyiasatan di bawah Akta 866 pada 30 Januari lalu.

Fahmi berkata, bagi melengkapkan keseluruhan kerangka kawal selia, MCMC kini sedang menjalankan rundingan awam bagi membangunkan instrumen subsidiari terakhir iaitu Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi).

“Rundingan awam tersebut telah bermula pada 19 Jun 2026 dan dijadualkan berakhir pada 20 Julai ini sebelum peraturan tersebut dimuktamadkan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan komited untuk terus memperkukuh kerangka keselamatan dalam talian menerusi pendekatan kawal selia yang menyeluruh, berstruktur dan berasaskan risiko bagi memastikan ruang digital negara menjadi lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button