HIBURAN

Farasu tampil dengan ‘Nusachestra EP’, gabungan metal nusantara dan orkestra

KUALA LUMPUR – Kumpulan metal tempatan, Farasu tampil dengan karya terbaharu berjudul Nusachestra EP yang menggabungkan elemen metal Nusantara, tradisi budaya dan susunan muzik orkestra dalam sebuah pengalaman bunyi yang lebih sinematik serta dramatik.

EP yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos lalu itu menampilkan empat lagu iaitu Pertabalan Jinn, Tangisan Malam, Bidikan Rentaka dan Against Tyranny.

Menurut Farasu, Nusachestra EP merupakan kesinambungan usaha kumpulan itu dalam meneroka identiti muzik berteraskan warisan Nusantara menerusi pendekatan metal yang lebih berat dan penuh karakter.

“Melalui Nusachestra, kami bukan sekadar menghasilkan muzik metal yang disulam elemen orkestra, tetapi cuba membentuk sebuah pengalaman bunyi yang menggabungkan warisan, mitologi, kegelapan dan semangat Nusantara dalam satu naratif muzik tersendiri.

“EP ini mencerminkan perjalanan kreatif kami dalam mengangkat elemen budaya tempatan ke dalam suasana yang lebih agresif, dramatik dan sinematik tanpa menghilangkan identiti asalnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farasu berkata, karya tersebut turut meneruskan eksplorasi konsep Metal Nusantara yang menjadi identiti utama kumpulan berkenaan sejak penubuhannya.

“Nusachestra membuktikan bahawa muzik metal bukan hanya bergantung kepada kekuatan riff dan persembahan pentas, tetapi juga mampu menjadi medium untuk mengangkat budaya serta membina atmosfera penceritaan yang lebih mendalam,” katanya lagi.

EP berkenaan kini boleh didengarkan menerusi pelbagai platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, Bandcamp dan YouTube.

Dalam perkembangan sama, Farasu turut berkata, edisi fizikal Nusachestra EP dalam bentuk cakera padat (CD) serta barangan rasmi termasuk kemeja-T dijadualkan dilancarkan pada Oktober depan.

Rilisan fizikal itu bakal menjadi sebahagian daripada koleksi rasmi kumpulan tersebut sekali gus memberi peluang kepada peminat memiliki karya berkenaan dalam bentuk fizikal.

Nusachestra EP diterbitkan oleh Majestica Sembranica Productions dan merupakan projek yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi serta MyCreative Ventures.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button