BERITA SEMASADALAM NEGERI

Yayasan Pahang cipta sejarah raih anugerah PBB kategori Anti-Rasuah

KUALA LUMPUR – Yayasan Pahang (YP) membuka tirai tahun 2026 dengan mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd. Nawawi berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan institusi itu dalam membudayakan kecemerlangan dan integriti di bawah naungan United Nations Global Compact.

Beliau berkata, komitmen berterusan Yayasan Pahang itu dizahirkan dalam usaha memperkukuh nilai integriti, ketelusan serta amalan tadbir urus korporat yang berlandaskan piawaian antarabangsa.

Menurut beliau, anugerah itu bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact.

“Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, anugerah berprestij anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) itu berlangsung di ibu negara dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001” selepas disenarai pendek bersama Thumbprints United Sdn. Bhd., sebelum mengungguli kategori tersebut pada peringkat akhir.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed bersama Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Faroze Nadar.

Yayasan
Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”.

Dalam pada itu, Mahmud turut menzahirkan rasa bangga apabila Yayasan Pahang dipilih sebagai pemenang dalam kategori Anti-Rasuah, selari dengan prinsip kelestarian dan tadbir urus yang berakauntabiliti tinggi.

“Integriti adalah tunjang kepada setiap usaha kelestarian. Justeru, kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pengiktirafan ini serta percaya kejayaan ini menjadi penanda aras baharu bagi institusi yayasan milik kerajaan negeri di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berharap kejayaan itu akan terus menjadi pemangkin kepada Yayasan Pahang untuk memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa sistem tadbir urus yang amanah serta terus berbakti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan Negeri Pahang.

Pada majlis sama, beberapa organisasi terkemuka negara turut menerima pengiktirafan bagi kategori lain, antaranya Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad, sekali gus memperkukuh kredibiliti serta kedudukan anugerah berkenaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button