BERITA SEMASA

TM R&D raih dua anugerah di Malaysia Technology Excellence Awards 2026

CYBERJAYA – Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi Kumpulan TM dan anak syarikat Multimedia University (MMU), berjaya menggondol dua anugerah di Malaysia Technology Excellence Awards 2026.

Kemenangan dalam kategori Network and Broadband – Telecommunications dan Automation – Telecommunications itu sekaligus satu pengiktirafan terhadap pembangunan dua platform inovatif, ANTRIX dan SMART-E, yang memperkukuh jaminan rangkaian serta mengautomasi migrasi infrastruktur berskala besar merentasi rangkaian nasional Telekom Malaysia Berhad (TM).

Malaysia Technology Excellence Awards, dianjurkan oleh Asian Business Review dan diadakan bagi mengiktiraf organisasi yang menerajui inovasi teknologi dan transformasi digital merentasi pelbagai industri di Malaysia.

Advanced Neural Telecommunication Resolution Interface and Exchange (ANTRIX) merupakan platform operasi rangkaian pintar yang digunakan secara nasional sejak Disember 2025. Platform ini memantau amaran rangkaian, data prestasi, dan indikator perkhidmatan secara masa nyata.

Berbeza dengan sistem tradisional yang bergantung pada laporan manual dan proses reaktif, ANTRIX mengautomasi pemantauan dan tindak balas, termasuk penjanaan tiket aduan, pelan pemulihan, permit kerja, dan permohonan perubahan. Ia juga menyediakan alat analisis pintar bagi mengenal pasti punca utama masalah dan menyelaras penyelesaian dengan lebih cekap merentasi rangkaian TM.

Sementara itu, System for Migration & Technology Refresh of Network Element Tool (SMART-E) dibangunkan untuk mempermudah migrasi Optical Line Terminal (OLT) semasa program naik taraf rangkaian.

Sebelum ini, proses migrasi memerlukan konfigurasi manual dan mengambil masa yang panjang, menjejaskan penyelarasan inventori serta kesinambungan perkhidmatan.

SMART-E kini mengautomasi keseluruhan proses, membolehkan sistem dan pasukan bekerjasama dengan lebih lancar, termasuk tugasan utama seperti penyediaan perkhidmatan, pengurusan perubahan serta semakan sebelum dan selepas migrasi.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan organisasi terhadap inovasi berasaskan penyelidikan yang memberikan nilai sebenar kepada perniagaan dan pelanggan.

“Di TM R&D, kami menumpukan usaha dalam membangunkan penyelesaian yang menangani cabaran operasi sebenar dalam ekosistem telekomunikasi.

“ANTRIX dan SMART-E menunjukkan bagaimana AI dan automasi pintar dapat meningkatkan jaminan rangkaian, menambah baik kecekapan operasi serta menyokong naik taraf infrastruktur berskala besar,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi TM R&D dan Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, kemenangan tersebut turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap komitmen MMU.

“Pencapaian luar biasa ini mencerminkan kedudukan kukuh MMU sebagai universiti berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang komited dalam memajukan inovasi berimpak tinggi bagi menangani cabaran dunia sebenar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button