Dua anak Perak raih anugerah Golden Bull Awards 2026, sasar syarikat tersenarai Fortune 500
KUALA LUMPUR – Berasal daripada keluarga sederhana tidak menghalang dua anak kelahiran Perak, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck dan Subha Sathiamoorthy Maraiah mencipta kejayaan dalam dunia korporat apabila masing-masing menerima pengiktirafan berprestij pada Golden Bull Awards 2026.
Mossco yang merupakan Pengarah Urusan syarikat menerima Super Golden Bull Award 2026 manakala Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Subha, dinobatkan sebagai penerima Golden Bull Inspirational Entrepreneur Award 2026 pada majlis yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan serta sumbangan mereka kepada pembangunan industri.
Di bawah kepimpinan kedua-dua tokoh itu, syarikat berkenaan berkembang sebagai syarikat tempatan bertaraf antarabangsa dengan operasi merangkumi sektor pembinaan, tenaga, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, infrastruktur serta perlombongan di Kelantan dan Sabah.
Mossco berkata, kejayaan syarikat didorong oleh kepercayaan penuh terhadap rakan kongsi, komitmen tinggi dan dedikasi seluruh pasukan dalam melaksanakan setiap tugasan.
“Matlamat kami pada masa depan adalah untuk menjadi sebuah lagi syarikat Malaysia yang tersenarai dalam World Fortune 500 Companies,” katanya.
Sementara itu, Subha berkata budaya kerja yang berasaskan perancangan strategik, inovasi dan penerapan teknologi baharu menjadi faktor utama yang memacu pertumbuhan syarikat.
“Mantra kami mudah, plan your work and work your plan. Kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu dan mahu terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata syarikat akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, selain memperluaskan pelaksanaan projek tenaga hijau serta rangkaian gentian optik menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Dalam masa sama, syarikat itu turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membangunkan sebuah makmal ujian perlombongan khas untuk unsur nadir bumi (REE) dan emas.
Menurut mereka, makmal tersebut dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi ujian unsur nadir bumi (REE).
“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai SOP khas bagi ujian REE. Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.
Kejayaan Mossco dan Subha membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Malah, usaha gigih, kepimpinan berwawasan dan semangat berpasukan mampu membawa sesebuah syarikat tempatan bersaing di pentas global serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















