
Pengarah The Voice of Hind Rajab tolak anugerah, protes pengiktirafan jeneral Israel
BERLIN – Tindakan berani pengarah filem The Voice of Hind Rajab, Kaouther Ben Hania, menolak Anugerah ‘Filem Paling Berharga’ pada majlis gala Cinema for Peace, Isnin lalu, mencetuskan perhatian apabila beliau bertindak meninggalkan trofi tersebut sebagai tanda bantahan.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), keputusan itu dibuat selepas beliau dimaklumkan bahawa seorang jeneral Israel turut menerima pengiktirafan dalam majlis sama.
Dalam ucapannya, pengarah dari Tunisia itu menegaskan bahawa tanggungjawab moral dan tuntutan keadilan jauh lebih besar daripada penghargaan yang diterima.
Beliau menggunakan pentas berkenaan untuk menuntut akauntabiliti terhadap kematian kanak-kanak Palestin, Hind Rajab.
“Keadilan bermaksud akauntabiliti. Tanpa akauntabiliti, tiada keamanan. Saya tidak akan membiarkan kematian mereka menjadi sekadar latar kepada ucapan sopan mengenai keamanan,” katanya dengan nada tegas.
Hind Rajab, lima tahun, dilaporkan terbunuh dalam kejadian tembakan di Gaza pada 2024 bersama ahli keluarganya, manakala dua paramedik yang cuba menyelamatkannya turut ditembak.
Kaouther mendakwa tragedi itu berlaku dengan persubahatan pihak berkuasa dan institusi berpengaruh.
Beliau menegaskan, selagi struktur yang memungkinkan tragedi sedemikian tidak dipertanggungjawabkan, beliau enggan menerima sebarang pengiktirafan.
“Malam ini saya tinggalkan anugerah ini sebagai peringatan. Apabila keamanan ditegakkan atas dasar undang-undang dan moral yang berakar pada akauntabiliti terhadap genosid, barulah saya akan menerimanya dengan gembira,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kematian Hind bukan kes terpencil, sebaliknya sebahagian daripada apa yang didakwanya sebagai genosid, selain mengkritik pihak yang menyifatkan pembunuhan orang awam sebagai ‘pertahanan diri’ atau isu ‘kompleks’.
Filem The Voice of Hind Rajab diilhamkan daripada kisah benar Hind yang terperangkap dalam kereta keluarganya pada 29 Januari 2024 selepas kenderaan itu ditembak di Bandaraya Gaza.
Mangsa ditemukan maut hampir dua minggu kemudian selepas nasibnya tidak diketahui.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








