
Pengakap Malaysia terima anugerah NGO terbaik badan beruniform
PETALING JAYA – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menerima Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Terbaik bagi kategori Badan-Badan Beruniform pada Malam Gala Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 (APNM 2025).
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan PPM dalam pembangunan negara sejak penubuhannya pada tahun 1908, khususnya dalam membangunkan kepimpinan belia dan memupuk nilai kesukarelawanan.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Yayasan Generasi Malaysia (YGM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Press dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, selaku tetamu utama.
Ketua Pengakap Negara, Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata, anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap khidmat bakti ribuan sukarelawan Pengakap di seluruh negara yang selama ini berada di barisan hadapan membimbing generasi muda.
“Sejak 117 tahun lalu, Pergerakan Pengakap telah menjadi sebuah universiti kehidupan kepada jutaan anak muda untuk mempelajari erti tanggungjawab, kepimpinan, disiplin dan kesukarelawanan.
“Anugerah ini saya terima dengan penuh rasa rendah diri dan didedikasikan kepada seluruh pemimpin serta ahli PPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PPM dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan atas sumbangan signifikan organisasi itu dalam membangunkan kepimpinan berwibawa, memupuk budaya kecemerlangan serta memperkukuh perpaduan nasional melalui pendidikan bukan formal.
Sejak ditubuhkan di negara ini pada 1908, PPM terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia dengan menekankan nilai disiplin, tanggungjawab serta khidmat kepada masyarakat.
Malam Gala APNM 2025 turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada beberapa NGO lain, pelancaran Buletin Impak NGO Malaysia, selain sesi ramah mesra antara kepimpinan NGO dan tetamu kehormat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








