LUAR NEGARA

Kebakaran hutan mengganas di AS dan Kanada, dua juruterbang maut nahas helikopter

WASHINGTON – Kebakaran hutan yang semakin merebak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, malah operasi memadam kebakaran di Utah bertukar tragedi apabila sebuah helikopter Sikorsky S-64 terhempas dan mengorbankan dua nyawa.

Kedua-dua mangsa dilaporkan sedang membantu operasi memadam kebakaran apabila helikopter dinaiki mereka terhempas di Fishlake National Forest, Utah, pagi Jumaat lalu.

Menurut pihak berkuasa penerbangan persekutuan AS, lokasi nahas berhampiran Richfield, kira-kira 257 kilometer di selatan Salt Lake City, mempunyai bentuk muka bumi yang sukar, sekali gus menyukarkan usaha pasukan penyelamat.

“Keadaan bertambah buruk apabila nahas helikopter itu mencetuskan kebakaran baharu, menyebabkan anggota kecemasan tidak dapat segera sampai ke lokasi kejadian.

“Keadaan muka bumi di kawasan itu ‘sangat sukar’, selain usaha mencari mangsa masih dijalankan,” kata Timbalan Komander Insiden Great Basin Incident Management Team, Tyler Hecht seperti dilaporkan The Guardian.

Di Kanada, lebih 20,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman di beberapa komuniti sekitar Tasik Okanagan, British Columbia, selepas kebakaran bergerak pantas memusnahkan rumah dan memaksa puluhan penduduk diselamatkan menggunakan pesawat.

Wilayah British Columbia turut mengisytiharkan keadaan darurat pada Sabtu susulan keadaan kebakaran yang semakin membimbangkan.

Antara kawasan terjejas ialah Summerland yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk, manakala kebakaran Bald Range menyebabkan kira-kira 8,000 lagi penduduk di sekitar Peachland diarahkan berpindah.

Menteri Pengurusan Kecemasan dan Ketahanan Komuniti Kanada, Eleanor Olszewski berkata, kerajaan persekutuan meluluskan permohonan bantuan bagi menyediakan tempat perlindungan dan penginapan kepada penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman.

Di AS pula, anggota bomba terus bertungkus-lumus mengawal tiga kebakaran hutan yang berlaku di kawasan Spokane, Washington, sejak lebih seminggu lalu.

Walaupun ketiga-tiga kebakaran itu dilaporkan tidak lagi merebak, operasi pembersihan dan pemantauan terus dilakukan di sekitar garisan kawalan.

Kebakaran berkenaan bagaimanapun telah menyebabkan kira-kira 920 struktur rosak atau musnah, sekali gus menambah kemusnahan akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan barat negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button