
Aska gegarkan Kuala Lumpur Februari ini
KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda Jepun, Aska bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 23 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert itu merupakan sebahagian daripada siri jelajahnya Aska Concert Tour 2024≫2025 Siapa Aska? yang turut melibatkan persembahan di Jepun, Taipei dan Seoul.

Aska atau nama sebenarnya Shigeaki Miyazaki, telah mencipta nama sebagai sebahagian daripada duo terkenal, Chage & Aska, sejak era 1970-an.
Antara lagu popular beliau bersama kumpulan tersebut termasuk “Say Yes,” “Morning Moon,” dan “Love Song.”
Sebagai artis solo, Aska turut mencipta kejayaan melalui lagu seperti “Hajimari wa Itsumo Ame” yang mendapat sambutan luar biasa di awal 1990-an.
Penganjur konsert, Burnish Stone berkata, konsert itu bakal menjadi pengalaman istimewa untuk para peminat dengan persembahan yang memaparkan perjalanan seni Aska selama lebih 45 tahun.
“Persembahan itu turut menonjolkan evolusi muziknya yang masih relevan dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aska juga dikenali sebagai pemuzik Asia pertama yang membuat persembahan di MTV Unplugged, menandakan pencapaian besar dalam kariernya.
Pada 2017, beliau melancarkan label muzik sendiri, Dada Label, yang memberi kebebasan kreatif kepadanya dalam menghasilkan karya baharu.
Lebih membanggakan, beliau baru-baru ini kembali bekerjasama dengan penerbit legenda, David Foster sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai ikon muzik antarabangsa.
Konsert di Kuala Lumpur akan bermula pada pukul 8 malam dengan harga tiket RM380. Tiket telah mula dijual sejak 6 Disember 2024 dan boleh didapati melalui laman web Book My Show.

Peminat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Digital Idea Multimedia melalui talian +6011 31817933 atau emel di Ticket-skaKL@digitalidea.com.
Konsert itu dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan pada tahun 2025, menjanjikan malam yang penuh kenangan buat para peminat di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















