BERITA SEMASALUAR NEGARA

Thailand mulakan serangan udara ke atas Kemboja, gencatan senjata terbatal?

BANGKOK – Ketegangan di sempadan Thailand–Kemboja kembali memuncak apabila Thailand melancarkan serangan udara ke atas pasukan Kemboja pagi ini, menandakan kemungkinan runtuhnya pelan damai yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dua bulan lalu.

Insiden terbaru itu berlaku selepas kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Thailand mendakwa serangan udara itu adalah tindakan balas selepas pasukan Kemboja menembak Pangkalan Anupong pada jam 3 pagi waktu tempatan yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan dua lagi.

“Sasaran serangan adalah pada kedudukan sokongan senjata Kemboja di kawasan Chong An Ma Pass yang menggunakan meriam dan pelancar mortar menyerang pihak Thailand,” kata Mejar Jeneral Winthai Suvaree, pegawai kanan tentera Thailand.

Sebaliknya, tentera Kemboja menuduh Thailand memulakan serangan ke atas pasukan mereka pada jam 5.04 pagi.

Dalam kenyataan rasmi, pihak Kemboja menegaskan bahawa tindakan Thailand adalah provokasi berulang sepanjang beberapa hari terakhir.

Susulan ketegangan ini, pihak berkuasa Thailand telah memindahkan kira-kira 70 peratus penduduk awam dari bandar sempadan ke pusat perlindungan yang selamat.

Satu kematian orang awam dilaporkan semasa proses pemindahan akibat masalah kesihatan sedia ada.

Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam konflik sempadan selama lima hari pada Julai, yang mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa kira-kira 200,000 penduduk berpindah.

Gencatan senjata awal dicapai pada 28 Julai lalu selepas panggilan telefon antara Presiden Trump dan pemimpin kedua-dua negara.

Deklarasi gencatan senjata yang diperluas kemudian ditandatangani di Kuala Lumpur pada akhir Oktober dalam majlis yang disaksikan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menganggap detik berkenaan sebagai kejayaan diplomatik besar.

Namun, kurang dua minggu selepas perjanjian itu ditandatangani, hubungan antara Thailand dan Kemboja mula tergugat selepas letupan periuk api di sempadan yang mencederakan beberapa askar Thailand.

Pertempuran yang berlaku Isnin lalu dianggap antara yang paling serius dalam beberapa tahun, walaupun kedua-dua negara pernah berdepan konflik sempadan sejak beberapa dekad lalu. Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain memulakan ketegangan terbaru dan terus berbalas tuduhan mengenai insiden itu.

Situasi sempadan kini kekal tegang dan dipantau rapi oleh pihak berkuasa Thailand, dengan kebimbangan bahawa usaha perdamaian yang dipengerusikan pemimpin dunia mungkin tergugat jika konflik berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button