
Sukan SEA: Olahraga, boling dan gimnastik pacu pemburuan pingat Malaysia hari ketujuh
KUALA LUMPUR – Pemburuan pingat emas kontinjen Malaysia diteruskan pada hari ketujuh temasya Sukan SEA di Thailand hari ini dengan tumpuan utama diberikan kepada acara olahraga, boling dan gimnastik berirama.
Saingan olahraga yang memasuki hari terakhir dijangka menarik perhatian apabila Irfan Shamsuddin berpeluang meneruskan penguasaannya dalam acara lempar cakera lelaki, yang menyaksikan beliau meraih pingat emas pada setiap edisi sejak Sukan SEA Myanmar 2013.
Turut beraksi ialah Jonah Chang Rigan, yang mencipta sensasi minggu lalu selepas memecahkan rekod kebangsaan dan rekod temasya dalam acara lontar peluru lelaki sebelum meraih pingat emas. Jonah akan bergandingan dengan Irfan dalam misi menambah koleksi pingat negara.
Dalam acara boling, skuad kebangsaan meneruskan cabaran memburu pingat emas pertama di temasya kali ini menerusi acara beregu lelaki yang menyaksikan gandingan Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam turun beraksi.
Sementara itu, gimnas berirama negara, Ng Joe Ee yang membantu Malaysia meraih emas acara berpasukan semalam, dijadualkan beraksi dalam acara individu hari ini.
Dalam acara berbasikal lebuh raya, pelumba negara akan berusaha mempertahankan pingat emas acara beramai-ramai lelaki, namun berdepan cabaran sukar apabila tuan rumah Thailand memilih laluan berbukit yang lebih memihak kepada pelumba mereka.
Saingan skuasy pula menyaksikan Harith Danial Jefri dan Sehveetrraa Kumar dijadual menentang Singapura dalam separuh akhir acara beregu jumbo campuran, manakala Harith akan sekali lagi turun gelanggang bersama Low Wa Sern dalam acara beregu jumbo lelaki untuk merebut tiket ke final.
Dalam acara snuker, Thor Chuan Leong dan Lim Kok Leong memulakan kempen masing-masing dalam acara perseorangan lelaki, dengan Chuan Leong turun sebagai juara bertahan. Setakat ini, Malaysia telah meraih dua pingat emas dalam sukan itu menerusi acara perseorangan enam merah dan berpasukan enam merah.
Bagi acara berpasukan, skuad kriket kebangsaan dijadual menentang Thailand dan Singapura dalam saingan pusingan round robin T10 lelaki.
Skuad sepak takraw lelaki pula akan berdepan Singapura dan Vietnam dalam saingan peringkat kumpulan acara kuadran, manakala skuad wanita dijadual bertemu Indonesia.
Dalam e-sukan, pasukan Mobile Legends: Bang Bang wanita negara akan menentang sama ada Vietnam atau Myanmar pada aksi separuh akhir selepas mempamerkan prestasi cemerlang termasuk menewaskan pasukan pilihan, Indonesia di peringkat kumpulan.
Sementara itu, pasukan hoki padang negara akan menentang Thailand bagi kategori lelaki dan wanita dalam saingan peringkat kumpulan, manakala pasukan hoki dalam dewan masing-masing dijadual berdepan Singapura (lelaki) dan Indonesia (wanita).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








