SUKAN

Kekalahan Thailand dalam acara sepak takraw sangat mengejutkan – The Bangkok Post

KUALA LUMPUR – Media utama Thailand menyifatkan kekalahan pasukan negara itu dalam acara final sepak takraw Sukan SEA kepada Malaysia sebagai satu perkara yang sangat mengejutkan.

The Bangkok Post melaporkan kekalahan itu mencemari hasrat tuan rumah untuk meraikan pencapaian melepasi sasaran 100 pingat emas pada temasya kali ini.

“Perjalanan Thailand ke arah mercu tanda 100 emas dibayangi kekalahan mengejut kepada Malaysia dalam final regu berpasukan lelaki sekali gus menamatkan dominasi 34 tahun dan mengejutkan seluruh sambutan Sukan SEA negara,” lapor akhbar itu.

Malah, menurut akhbar itu lagi, suasana di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom yang dipenuhi kira-kira 4,000 penonton bertukar sunyi apabila Malaysia bangkit memenangi regu B dan C dengan keputusan 2-0, selepas tewas tipis 1-2 pada regu pertama.

“Kebangkitan itu menenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah dan menutup tirai era penguasaan Thailand dalam acara regu berpasukan lelaki yang bermula sejak 1991,” menurut laporan itu lagi.

Takraw Malaysia
Pasukan Malaysia muncul juara sekali gus memecahkan dominasi Thailand selama 34 tahun dalam acara tersebut. – Foto Persekutuan Sepaktakraw Malaysia

Pada aksi semalam, pasukan Malaysia berjaya menamatkan penguasaan Thailand sejak lebih tiga dekad di hadapan penyokong sendiri.

Prestasi cemerlang itu turut mencerminkan peningkatan ketara pasukan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia termasuklah apabila Malaysia berjaya menewaskan Thailand pada final acara antara regu di Piala Dunia tahun lalu serta Piala Asia tahun ini, meskipun kedua-dua kejayaan itu dicapai di Kuala Lumpur.

Sebelum perlawanan, Malaysia dianggap belum memiliki kekuatan mencukupi untuk menumbangkan Thailand dalam acara regu berpasukan apatah lagi beraksi di gelanggang lawan.

Namun, tanggapan itu ternyata meleset apabila skuad negara melakar kejutan besar dan mencatat sejarah di bumi Thai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button