HAMILTON (KANADA) – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran lebih satu juta penduduk di Lubnan kini hilang tempat tinggal susulan serangan berterusan Israel yang semakin memuncak di negara itu.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, hampir satu pertiga daripada jumlah tersebut melibatkan kanak-kanak, iaitu sekitar 367,000 orang.
Menurut beliau, serangan terbaharu di bahagian tengah Beirut sepanjang malam hingga awal pagi turut mengakibatkan pertambahan korban jiwa, selain memusnahkan kawasan kediaman termasuk sebuah bangunan bertingkat yang runtuh.
Dalam perkembangan sama, Haq memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hospital kerajaan mengalami kerosakan besar akibat serangan tersebut, sekali gus mencederakan petugas kesihatan.
Beliau turut memetik laporan Pasukan Interim PBB di Lubnan yang menyatakan keadaan keselamatan di kawasan operasi semakin meruncing dengan insiden tembakan balas yang sengit, peningkatan aktiviti udara dan darat serta kehadiran lebih ramai tentera Israel di wilayah Lubnan.
PBB turut menyuarakan kebimbangan terhadap arahan pemindahan baharu oleh Israel yang dilihat menjejaskan orang awam di kedua-dua belah Garisan Biru.
Sehubungan itu, badan dunia berkenaan menggesa semua pihak agar mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk serta kembali kepada saluran diplomatik.
“Kami menyeru supaya ketegangan segera diredakan dan semua pihak komited terhadap pelaksanaan penuh Resolusi Majlis Keselamatan 1701,” katanya.
Terdahulu, Israel dilaporkan memperluas serangan ketenteraan ke atas Lubnan selepas konflik serantau memuncak susulan tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.