JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru dua lelaki larikan peti wang peniaga nasi bajet

IPOH – Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki mencuri peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga wanita di sebuah gerai nasi bajet di tepi Jalan Lebuh Meru Raya di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian berlaku pada pukul 12 tengah hari ketika mangsa berusia 21 tahun sedang berniaga dan membungkus makanan.

Menurut beliau, dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak dipercayai berpura-pura membeli makanan sebelum bertindak melarikan peti wang serta telefon bimbit milik mangsa.

“Ketika mangsa sedang membungkus nasi, suspek dipercayai mengambil sebuah peti wang yang mengandungi wang tunai bersama sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 sebelum melarikan diri ke arah bulatan Meru Raya.

“Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000 membabitkan wang tunai dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, rakaman kejadian itu turut tular di Facebook selepas dimuat naik oleh orang awam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan polis sedang giat mengesan suspek terlibat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button