JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga rugi RM882,920 diperdaya ‘phone scam’ menyamar polis, pegawai insurans

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM882,920 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan pegawai polis dalam kejadian bermula Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia awal 50-an itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 23 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa mewakili Etika Takaful.

Ketua Polis Kuala Terengganu
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor.

“Suspek mendakwa nama mangsa digunakan untuk membuat tiga tuntutan di Hospital KPJ. Walaupun mangsa menafikannya, dia diminta membuat laporan secara dalam talian sebelum talian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah selepas semakan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke dua akaun bank miliknya bagi tujuan siasatan dan kononnya untuk membersihkan nama.

“Mangsa kemudian memindahkan wang simpanan daripada akaun ASB, Amanah Saham Wawasan (ASW), Bank Rakyat dan Tabung Haji berjumlah kira-kira RM883,000 ke dalam dua akaun peribadi tersebut.

“Suspek turut meminta maklumat perbankan internet mangsa dan mengarahkannya supaya tidak membuat sebarang transaksi atau semakan baki sehingga siasatan selesai,” katanya.

Azli berkata, mangsa mula curiga selepas diminta membuat tambahan kemasukan wang sebelum melakukan semakan baki akaun bank miliknya.

“Hasil semakan mendapati wang dalam akaun BSN mangsa berkurang sebanyak RM155,950 manakala baki dalam akaun RHB pula susut RM726,970.

“Siasatan mendapati beberapa transaksi pindahan wang dibuat secara berperingkat ke akaun pihak ketiga antara 29 Mac hingga 4 Mei tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.

Menurut beliau, mangsa turut mendakwa dihubungi menggunakan lima nombor telefon berbeza sepanjang urusan itu berlangsung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan atau institusi kewangan serta tidak menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button