BERITA SEMASA

PH gesa SPR siasat dakwaan sogokan bakul makanan di Rim

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan perhatian segera terhadap dakwaan sogokan melalui pengagihan bakul makanan di DUN Rim sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, dakwaan berkenaan perlu disiasat secara menyeluruh dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara telus dan adil.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi meneliti keterangan pihak terlibat serta bukti berkaitan susulan laporan polis yang dibuat PH.

“Dakwaan ini mesti disiasat dengan pantas dan telus bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya.

“Bantuan kepada golongan yang memerlukan mesti disampaikan dengan menghormati kebebasan mereka untuk memilih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Adly turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan status 55 projek pembangunan yang dilaporkan belum bermula pada Jun 2025.

“Selepas hampir 17 bulan, rakyat berhak mengetahui jumlah projek yang sudah dimulakan, disiapkan atau masih tertangguh.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan senarai projek berkenaan termasuk lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana serta sasaran tarikh siap.

“Jika terdapat kekangan teknikal, isu tanah, kontraktor atau penyaluran dana, perkara itu perlu dijelaskan bersama tindakan penyelesaian dan jadual pelaksanaannya,” katanya.

Adly berkata, ketelusan dalam pelaksanaan projek pembangunan penting bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan secara bertanggungjawab serta mengelakkan projek yang diumumkan terus tertangguh tanpa penjelasan.

PH turut menyokong tuntutan PKR supaya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membentangkan perkembangan terkini kesemua 55 projek berkenaan kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button