
Manifesto PH Negeri Sembilan: Tampil 10 komitmen utama, janji wujudkan 30,000 peluang kerja dan sediakan 20,000 rumah mampu milik
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menggariskan 10 komitmen utama merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, perumahan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, manifesto tersebut disusun berdasarkan keupayaan kerajaan untuk melaksanakannya dan bukannya sekadar menawarkan janji kepada rakyat.
Menurutnya, rekod pentadbiran PH sepanjang lapan tahun lalu membuktikan komitmen gabungan itu dalam menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat.
“Kita cuba menyediakan manifesto yang terbaik dan sudah tentu ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah manifesto ini mampu dilaksanakan dan bukan sekadar janji. Kita telah membuktikan dalam tempoh lapan tahun bahawa sebahagian besar manifesto yang dijanjikan berjaya dilaksanakan,” katanya ketika melancarkan manifesto PH sempena PRN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Antara komitmen utama yang ditawarkan ialah meneruskan pentadbiran yang stabil, bersih dan mesra rakyat serta memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR).
PH turut menyasarkan pewujudan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi pembangunan ekonomi yang lebih berdaya saing selain memperkukuhkan sektor pelaburan negeri.
Dalam bidang pendidikan, manifesto berkenaan memberi fokus kepada penambahbaikan Skim Biasiswa Anak Negeri serta Bantuan Anak Sekolah bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat.
Selain itu, PH berjanji menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik dan mempercepatkan penyelesaian isu berkaitan pemilikan tanah yang masih membelenggu sebahagian rakyat negeri ini.
Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pemerkasaan golongan belia, wanita dan keluarga termasuk melalui penubuhan Tabung Usahawan Belia bagi membantu meningkatkan penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan.
Bagi sektor pelancongan pula, PH komited memperkasa industri pelancongan serta warisan adat Negeri Sembilan, di samping memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara kawasan bandar, luar bandar dan tanah rancangan FELDA.
Dalam usaha menjamin keterjaminan makanan, gabungan itu turut mengumumkan pelaksanaan Pelan Pertanian Pintar serta Program Petani Muda bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.
Sementara itu, aspek infrastruktur dan kesihatan turut menjadi antara fokus utama menerusi cadangan pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan Bypass Senawang-Port Klang serta Hospital Bandar Enstek.
Komitmen terakhir pula menekankan agenda perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui pemerkasaan institusi masjid, surau, sekolah menengah agama serta pelaksanaan Program Komuniti Harmoni.
Majlis pelancaran manifesto itu turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke dan barisan kepimpinan gabungan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















