BERITA SEMASA

Pembangunan Johor mesti beri manfaat kepada rakyat – Anwar

MUAR – Kerajaan negeri perlu bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan antara kedua-dua pihak amat penting bagi mempercepatkan pembangunan negeri, khususnya di Johor yang kini menjadi tumpuan pelbagai projek strategik dan pelaburan berimpak tinggi.

Menurut beliau, potensi Johor untuk terus berkembang adalah besar, namun pembangunan berskala besar perlu diseimbangkan dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Johor sedang bergerak dengan baik, tetapi saya tidak mahu melihat isu nelayan yang belum selesai dan masalah kemiskinan masih wujud. Kita perlu menjaga dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di Muar semalam.

Anwar yang juga Pengerusi PH menegaskan aspek perumahan, pendidikan, kebajikan nelayan, anggota pasukan keselamatan serta golongan berpendapatan rendah tidak boleh diketepikan dalam usaha memacu pembangunan negeri.

“Pembangunan yang dirancang kerajaan perlu memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat dan bukan sekadar tertumpu kepada projek-projek mega semata-mata,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya terus memelihara perpaduan dan menolak politik kebencian serta sentimen perkauman yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Menurutnya, kekuatan negara bergantung kepada kemampuan rakyat pelbagai kaum dan agama untuk hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.

Sehubungan itu, beliau menggesa para pengundi, termasuk mereka yang berada di luar Johor, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.

“Gunakan hak mengundi demi menentukan masa depan Johor dan memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button