Setiap RM100 dibelanjakan di ED Expo, RM2 disalur kepada badan kebajikan
PETALING JAYA – Setiap RM100 yang dibelanjakan pengunjung di ED Expo 2026 akan menyumbang RM2 kepada tiga badan kebajikan, menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperkenalkan penganjur bagi membantu komuniti memerlukan.
Inisiatif itu dilaksanakan ketika isi rumah di Malaysia berdepan tekanan kos sara hidup dan semakin berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan harian.
Pengurus Besar ED Expo, Julhashim Benung berkata, pihaknya mahu memastikan acara jualan berskala besar itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna dan perniagaan yang mengambil bahagian, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Katanya, sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Al Hadid OKU Ampang, Rumah Anak Yatim Shifa Setapak dan Rumah Hope.
“Kami percaya acara membeli-belah yang berjaya perlu mewujudkan nilai bukan sahaja kepada pengguna dan perniagaan yang mengambil bahagian, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Melalui inisiatif CSR ini, setiap RM100 yang dibelanjakan di ED Expo akan diterjemahkan kepada sumbangan RM2 kepada tiga badan kebajikan berkenaan,” katanya.

ED Expo 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 31 Oktober hingga 9 November ini di Hextar World Empire City, di sini, dengan penyertaan lebih 180 jenama merangkumi 15 kategori membeli-belah.
Antara jenama antarabangsa dan gaya hidup yang mengambil bahagian ialah Calvin Klein, Giordano, Hush Puppies, Lee, Renoma, ELLE, Pierre Cardin, Kappa, FitFlop, HEYDUDE dan Diadora.
Turut menyertai acara itu ialah Russell Taylors, THERMOS, Lenovo, HP, Dell, Disney, NERF dan Mattel.
Pelbagai kategori produk ditawarkan termasuk fesyen, kasut, kelengkapan rumah dan peralatan tidur, barangan elektrik, alat tulis, produk kanak-kanak, permainan, kosmetik, teknologi maklumat dan gajet, keperluan perjalanan serta makanan ringan.
Menurut Julhashim, penganjuran itu turut bertujuan menggalakkan pengguna mengamalkan perbelanjaan lebih bijak dengan mengutamakan kualiti, kemampuan, kepraktisan dan kegunaan jangka panjang sesuatu produk.
Beliau berkata, membeli-belah secara bijak bukan sekadar mendapatkan barangan dalam kuantiti banyak pada harga paling rendah, sebaliknya pengguna perlu mengetahui keperluan, membandingkan pilihan dan memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan nilai sewajarnya.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026, manakala kumpulan makanan dan minuman turut mencatatkan kenaikan 1.9 peratus serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 2.1 peratus.
Selain tawaran promosi, ED Expo turut menyediakan beg beli-belah percuma dan baucar kepada 100 pelanggan pertama yang layak, tertakluk kepada terma promosi rasmi.
Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah termasuk pengalaman pelayaran, emas dan barangan elektrik.
Julhashim berkata, pihaknya berharap gabungan kepelbagaian jenama, tawaran kepada pengguna dan inisiatif kebajikan dapat menjadikan ED Expo platform yang memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














