BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gencatan senjata Gaza satu tindakan dipaksa Rumah Putih – bekas duta Israel

TEL AVIV – Gencatan senjata di Gaza yang digambarkan sebagai kemenangan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebenarnya berlaku atas desakan Rumah Putih, dakwa bekas duta Israel, Alon Pinkas, yang menyifatkan langkah itu sebagai hasil tekanan Amerika Syarikat yang semakin hilang sabar terhadap kos kewangan dan kesan diplomatik perang tersebut.

Penganalisis antarabangsa itu juga melihat situasi itu sebagai isyarat jelas bahawa Netanyahu kini kehilangan sokongan sekutu utamanya selain berdepan tekanan politik dalaman dan pengasingan antarabangsa yang semakin memuncak.

Peperangan dua tahun di Gaza yang mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin meninggalkan kesan mendalam terhadap imej Israel, dengan dunia menyaksikan kemusnahan besar serta krisis kebuluran yang melanda wilayah berkenaan.

Israel kini berdepan pengasingan paling serius dalam sejarahnya, dengan laporan media antarabangsa menunjukkan imej kerusi kosong ketika Netanyahu berucap di Perhimpunan Agung PBB ke-80 di New York sebagai simbol penolakan global terhadap dasar pemerintahannya di Gaza.

Dalam masa sama, kejatuhan pasaran saham dan nilai mata wang shekel susulan visi Netanyahu menjadikan Israel sebagai “Super Sparta” memperlihatkan kegelisahan pelabur serta komuniti perniagaan domestik terhadap hala tuju negara itu.

Netanyahu juga kini berdepan cabaran daripada parti sayap kanan ekstrem dalam gabungan pemerintahnya, termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir yang menentang gencatan senjata namun kekal dalam kerajaan buat masa ini.

Bagi mengekalkan kedudukan, beliau dilaporkan mempertimbangkan pindaan undang-undang untuk mengecualikan pelajar yeshiva ultra-Ortodoks daripada perkhidmatan tentera, bagi menarik semula sokongan parti-parti agama dalam parlimen.

Penganalisis menjangka, pilihan raya Israel tahun depan akan menjadi penentu masa depan politik Netanyahu di tengah kemarahan rakyat dan tekanan antarabangsa yang kian meningkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button