Hampir 4,000 kakitangan NASA letak jawatan di bawah program penstrukturan pentadbiran Trump
WASHINGTON – Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mengesahkan hampir 4,000 kakitangannya telah meletak jawatan menerusi program penstrukturan semula yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, menurut satu kenyataan rasmi, semalam.
Jurucakap NASA, Cheryl Warner berkata, jumlah tersebut mewakili kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja agensi itu, sekaligus mengurangkan jumlah kakitangan dari 18,000 kepada sekitar 14,000 orang.
Menurutnya, 3,000 kakitangan mengemukakan permohonan meletak jawatan dalam pusingan kedua program yang berakhir tengah malam Jumaat lalu, susulan 870 permohonan yang diterima dalam pusingan pertama.
Selain itu, sebanyak 500 lagi pekerja meninggalkan agensi tersebut melalui proses attrisi biasa, tambah Warner.
Pengurangan tenaga kerja itu selari dengan rancangan pentadbiran Trump untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam persekutuan serta melaksanakan cadangan penjimatan oleh Jabatan Kecekapan Kerajaan (Department of Government Efficiency, DOGE).
Warner memaklumkan tarikh pelaksanaan penuh pengurangan tenaga kerja belum dapat dipastikan dan NASA setakat ini belum memberi jawapan lanjut mengenai kesan terhadap operasi agensi.
Dalam pada itu, pentadbiran Trump turut mencadangkan pengurangan ketara terhadap bajet NASA.
Bagaimanapun, Kongres Amerika Syarikat kini sedang membincangkan cadangan untuk mengekalkan bajet NASA pada paras sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






