Ronaldo tewaskan robot penjaga gol NASA dalam cabaran penalti
LONDON – Bilionair bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo berjaya menewaskan sebuah robot penjaga gol berteknologi tinggi ciptaan bekas jurutera NASA, Mark Rober meskipun mesin itu digambarkan sebagai ‘mustahil dikalahkan’.
Rober, seorang jurutera Amerika Syarikat yang popular di YouTube kerana projek kejuruteraan kreatif, sebelum ini berkhidmat selama tujuh tahun di Makmal Pendorongan Jet (JPL) NASA dan terlibat dalam misi rover Curiosity.
Projek terbaharunya membabitkan pembinaan sebuah penjaga gol robotik yang mampu menentang sepakan penalti Ronaldo, memetik laporan portal VNE Express.

Video cabaran tersebut menjadi tular dengan lebih 13 juta tontonan dalam tempoh sehari.
Robot itu dibangunkan dengan matlamat menyelamatkan sepakan pada kelajuan sehingga 80 batu sejam (128km/j), memberi hanya 250 milisaat untuk bertindak balas.
Untuk mencapai ketepatan itu, pasukan Rober memasang sistem penjejakan berkelajuan tinggi menggunakan 22 kamera inframerah.
Rangka robot pula digerakkan oleh sistem rel mendatar berkuasa dua motor 50 kuasa kuda, membolehkannya memecut sehingga 66km/j hampir serta-merta untuk menyekat bola.
Respons pantas robot dipertingkatkan dengan rangkaian 5G yang merekodkan isyarat dalam kurang 10 milisaat.
Walaupun robot itu menunjukkan keupayaan menepis beberapa sepakan padu, ia berdepan isu ketahanan apabila beberapa percubaan merosakkan strukturnya.
Rober kemudian menggunakan teknik aeroangkasa, menggabungkan gentian karbon, gabus tebal dan pengukuhan titik sambungan bagi meningkatkan daya tahan.

Selepas penambahbaikan, robot tersebut menunjukkan prestasi yang hampir mustahil ditembusi sekali gus bersedia untuk ujian sebenar bersama Ronaldo di Portugal.
Dalam perlawanan itu, robot berkenaan berjaya menepis beberapa sepakan awal Ronaldo membuatkan bintang Portugal itu terkejut dengan kecekapan mesin berkenaan.
Namun Ronaldo kemudian menukar taktik, mencari ruang kelemahan sistem sebelum akhirnya menjaringkan gol melalui sepakan lencong ke bahagian tepi gawang.
Rober menjelaskan robot tewas akibat kecacatan mekanikal tidak dijangka apabila salah satu rel pengangkut robot sedikit bengkok ketika dibawa ke Portugal menyebabkan pergerakan ke sebelah kanan menjadi kurang stabil.
Justeru, Ronaldo memanfaatkan kelemahan itu sebaiknya.
Walaupun berjaya menjaringkan gol, Ronaldo memuji ciptaan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘antara lawan paling sukar yang pernah dihadapinya.’
Pada 8 Oktober lalu, Ronaldo menjadi pemain bola sepak pertama mencapai status bilionair dengan Bloomberg Billionaires Index menganggarkan kekayaannya sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







