Dakwaan Beckham mahu bawa Ronaldo ke Inter Miami tidak berasas
MIAMI – Dakwaan tular kononnya David Beckham cuba mendapatkan Cristiano Ronaldo untuk menyertai Inter Miami CF disahkan tidak berasas.
Laporan berkenaan mendakwa Beckham yang juga pemilik bersama kelab itu berhasrat membawa Ronaldo keluar dari Al Nassr FC bagi digandingkan dengan seteru lamanya, Lionel Messi dalam saingan Major League Soccer.
Kontroversi itu semakin hangat selepas tersebar kenyataan yang dikaitkan dengan wartawan perpindahan terkenal, Fabrizio Romano, kononnya Beckham menawarkan sehingga 1.4 bilion euro (RM6.49 bilion) kepada Ronaldo pada 2025, namun pemain tersebut menolak sebelum memperbaharui kontraknya bersama Al Nassr.
Bagaimanapun, semakan mendapati tiada sebarang kenyataan sedemikian di akaun rasmi Romano, selain Beckham juga tidak pernah mengeluarkan sebarang komen berhubung rundingan seperti didakwa.
Siasatan lanjut mendapati dakwaan itu berpunca daripada akaun platform ‘X’ yang menggunakan nama dan gambar Romano, namun sebenarnya akaun palsu yang sering menyiarkan maklumat tidak tepat.
Dalam perkembangan lain, Beckham ketika ini memberi tumpuan kepada pembukaan stadium baharu Inter Miami, Nu Stadium, yang menyaksikan pasukan itu beraksi buat kali pertama di gelanggang berkenaan awal pagi semalam.
Perlawanan tersebut berakhir 2-2 menentang Austin FC, dengan Messi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan pada minit ke-10.
Pasukan pelawat kemudian bangkit sebelum Luis Suarez menyamakan kedudukan pada minit ke-82 bagi memastikan Inter Miami meraih satu mata dalam aksi sulung di stadium baharu mereka sebagai juara bertahan MLS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








