Chelsea bangkit tewaskan Tottenham, Arsenal gagal curi mata penting
LONDON – Chelsea merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 4-3, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Enzo Maresca berada di kedudukan sukar apabila ketinggalan 0-2 selepas 11 minit perlawanan, namun bangkit cemerlang dengan Cole Palmer menjaringkan dua gol melalui sepakan penalti.
Kemenangan keempat berturut-turut dalam liga itu membawa Chelsea ke tangga kedua dengan 31 mata daripada 15 perlawanan, manakala Liverpool kekal di puncak dengan 35 mata daripada 14 perlawanan selepas pertembungan mereka dengan Everton ditunda akibat angin kencang.
Arsenal pula, yang kini berada di tangga ketiga dengan 29 mata daripada 15 perlawanan selepas catat keputusan seri 1-1 menentang Fulham dengan gol lewat Bukayo Saka dibatalkan oleh VAR.
Chelsea terus menjadi tajuk perbualan dengan rekod 35 gol setakat musim ini, iaitu jumlah tertinggi dalam liga.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, bagaimanapun merendah diri tentang peluang kejuaraan pasukannya.
“Ketinggalan 0-2 adalah situasi yang buruk untuk kami. Namun, pada separuh masa kedua, kami layak menang.
“Namun, realitinya saya katakan banyak kali bahawa kami tidak bersedia untuk berada di sana (mencabar kejuaraan), tetapi yang penting pasukan bertambah baik dari hari ke hari,” kata Maresca.
Tottenham bermula cemerlang dengan Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski menjaringkan gol awal akibat kesilapan Marc Cucurella. Namun, Chelsea bangkit selepas Jadon Sancho merapatkan jurang pada minit ke-17.
Cole Palmer kemudian menyamakan kedudukan melalui penalti pada minit ke-60 sebelum Enzo Fernandez meledak gol ketiga.
Palmer sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan penalti ‘Panenka’ selepas dia dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Gol lewat Son Heung-min hanya sekadar saguhati buat Tottenham, yang kini di tangga ke-11 liga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








