Ronaldo julang trofi liga pertama bersama Al-Nassr
RIYADH – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo akhirnya menamatkan penantian lebih tiga tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Pro Saudi bersama Al-Nassr selepas membantu pasukannya menewaskan Damac FC 4-1 pada aksi terakhir musim, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Al-Nassr mengetepikan pencabar utama, Al-Hilal sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak 2019.
Ronaldo, 41, meledak dua gol dalam perlawanan tersebut untuk memastikan Al-Nassr meraih gelaran liga ke-11 kelab berkenaan.
Bekas penyerang Manchester United itu menyertai Al-Nassr pada Disember 2022 selepas meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan dalam perpindahan yang mengejutkan dunia bola sepak.

Sejak tiba di Arab Saudi, Ronaldo sudah menjaringkan 129 gol dalam semua kejohanan termasuk gol ke-100 dalam Liga Pro Saudi baru-baru ini, namun trofi liga dianggap sasaran utama yang diharapkan penyokong dan pengurusan kelab.
Kehadiran Ronaldo turut membuka jalan kepada kemasukan beberapa lagi bintang dunia seperti Karim Benzema, N’Golo Kante, Riyad Mahrez, Sadio Mane dan Neymar ke liga tersebut.
Persaingan musim ini menyaksikan Al-Nassr dan Al-Hilal bersaing sengit sehingga penghujung musim selepas Al-Ahli dan Al-Qadsiah tercicir dalam perebutan kejuaraan.
Perlawanan antara Al-Nassr dan Al-Hilal pada 12 Mei lalu yang disifatkan antara aksi liga terbesar dalam sejarah Arab Saudi turut menjadi tumpuan apabila disiarkan ke lebih 180 negara.
Namun, keputusan seri 1-1 dalam aksi dramatik itu menyebabkan perebutan kejuaraan berlanjutan sehingga hari terakhir musim sebelum Al-Nassr akhirnya mengesahkan gelaran menerusi kemenangan ke atas Damac.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan koleksi lapan gelaran liga domestik Ronaldo selepas pernah menjuarai liga di England bersama Manchester United, di Sepanyol bersama Real Madrid dan di Itali bersama Juventus.
Musim ini bagaimanapun tidak terlepas daripada kontroversi apabila beberapa pemain termasuk penyerang Al-Ahli, Ivan Toney mendakwa liga memberi layanan istimewa kepada Ronaldo dan Al-Nassr.
Ronaldo sebelum ini menegaskan pertikaian terbuka mengenai pengadil dan pengurusan liga hanya memberi imej negatif kepada bola sepak Arab Saudi.
Kejuaraan itu juga hadir ketika projek pembangunan sukan Arab Saudi berdepan pelbagai persoalan termasuk pengurangan pelaburan dalam beberapa acara sukan antarabangsa.
Bagaimanapun, kejayaan Ronaldo dan Al-Nassr dilihat mampu mengembalikan semula momentum serta tarikan Liga Pro Saudi di pentas global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







