Artemis 2 cipta sejarah, angkasawan catat jarak terjauh dari Bumi
HOUSTON – Misi Artemis 2 mencipta sejarah apabila empat angkasawan mencatat rekod sebagai manusia paling jauh pernah berada dari bumi, sekali gus mengatasi pencapaian misi Apollo 13 pada 1970.
Menurut NASA dalam satu kenyataan, pada jam 12.56 tengah hari waktu CDT semalam, kapsul Orion yang membawa angkasawan itu berada pada jarak 248,655 batu atau 400,172 kilometer (km) dari bumi, sekali gus memecahkan rekod penerbangan angkasa manusia sebelum ini.
“Pada jarak paling jauh, kru dijangka mencapai kira-kira 252,756 batu (406,768 km) sebelum berpatah balik ke bumi, sekali gus menetapkan rekod baharu,” katanya.
Menurut NASA lagi, enam hari selepas pelancaran misi, tiga angkasawan NASA iaitu Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch bersama angkasawan Canadian Space Agency (CSA), Jeremy Hansen terus merakam imej bulan sepanjang perjalanan menjauhi Bumi.
Pemangku Pentadbir Bersekutu bagi Direktorat Misi Pembangunan Sistem Eksplorasi NASA, Lori Glaze berkata, misi itu melambangkan keberanian manusia dalam meneroka sempadan baharu angkasa.
Menurutnya, dedikasi kru bukan sekadar memecahkan rekod, malah menjadi pemangkin harapan ke arah masa depan lebih berani termasuk usaha kembali ke permukaan bulan bagi membina pangkalan kekal.
Kapsul Orion memulakan perjalanan ke Bulan selepas pelancaran berjaya pada 1 April menggunakan roket Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.
Selepas mencatat rekod, kru turut menyampaikan mesej ringkas dan penuh emosi, dengan Jeremy Hansen menyifatkan pencapaian itu sebagai penghormatan kepada usaha luar biasa peneroka angkasa terdahulu, selain mencabar generasi kini dan akan datang untuk terus memecahkan rekod berkenaan.
Ketika menghampiri Bulan, kru akan berada pada jarak kira-kira 4,067 batu dari permukaannya, selain menjadi manusia pertama melihat beberapa bahagian sisi jauh Bulan dengan mata sendiri. Mereka juga dijangka menyaksikan gerhana matahari apabila Bulan melintasi di hadapan Matahari.
NASA turut menjangkakan gangguan komunikasi selama kira-kira 40 minit apabila bulan menghalang isyarat antara kapal angkasa dan bumi melalui rangkaian Deep Space Network.
“Namun, hubungan dijangka pulih sebaik Orion muncul semula dari belakang bulan dan kembali berhubung dengan pusat kawalan misi di Pusat Angkasa Johnson di Houston,” katanya.
Sepanjang lintasan Bulan, pelbagai kamera akan merakam imej termasuk ciri yang belum pernah dilihat manusia, selain angkasawan menggunakan kamera digital beresolusi tinggi untuk merakam permukaan bulan.
Data seperti foto, video, telemetri dan komunikasi akan digunakan bagi menyokong misi Artemis seterusnya termasuk pembangunan pangkalan di Bulan.
Misi Artemis 2 kini melepasi separuh perjalanan dan dijadualkan mendarat di perairan San Diego pada 10 April sebelum kru dibawa ke kapal USS John P. Murtha untuk pemeriksaan perubatan sebelum pulang ke darat.
Di bawah program Artemis, NASA merancang menghantar angkasawan dalam misi lebih mencabar bagi meneroka bulan untuk penemuan saintifik, manfaat ekonomi serta sebagai persediaan kepada misi berawak pertama ke Marikh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






