Jim Lovell, Komander Misi Apollo 13 NASA, meninggal dunia pada usia 97 tahun
CHICAGO – Komander Apollo 13, James ‘Jim’ Lovell yang terkenal atas keberaniannya menyelamatkan misi pendaratan ke bulan pada 1970 daripada bertukar menjadi tragedi, meninggal dunia pada usia 97 tahun.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dalam satu kenyataan memaklumkan, Lovell menghembuskan nafas terakhir di Lake Forest, Illinois pada Khamis lalu.
Punca kematian bagaimanapun tidak dijelaskan.
“Keperibadian dan keberanian Jim membantu negara kita menukar tragedi kepada kejayaan yang memberi banyak pengajaran. Kami berduka atas pemergiannya, namun tetap meraikan pencapaiannya,” kata NASA.
Lovell merupakan antara angkasawan paling berpengalaman NASA pada dekad pertama agensi itu dengan empat penerbangan iaitu Gemini 7, Gemini 12, Apollo 8 dan Apollo 13.
Pada 1968, beliau bersama Frank Borman dan William Anders menjadi kru Apollo 8 yang pertama meninggalkan orbit bumi dan mengelilingi bulan, sekali gus meletakkan Amerika Syarikat di hadapan Soviet dalam perlumbaan teroka angkasa.
Namun, misi yang paling menguji adalah Apollo 13 pada April 1970 apabila tangki oksigen kapal angkasa meletup kira-kira 200,000 batu dari bumi.
Misi pendaratan di bulan dibatalkan dan fokus utama bertukar kepada usaha membawa pulang Lovell bersama dua kru lain, Fred Haise dan Jack Swigert dalam keadaan selamat.
Selama empat hari, mereka bertahan dalam ruang yang sempit, gelap dan sejuk sambil menjimatkan bekalan oksigen, air dan tenaga elektrik.
Ketenangan Lovell di angkasa bersama koordinasi pasukan darat NASA mencipta detik bersejarah yang dianggap setanding dengan kejayaan pendaratan Apollo 11.
Walaupun mengakui kecewa kerana tidak berpeluang menjejakkan kaki di bulan, Lovell menyifatkan kejayaan mengatasi krisis itu memberikan satu kepuasan yang mendalam dan cukup bererti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




