Tempoh misi dipendekkan sebulan, empat kru ISS kembali ke Bumi
WASHINGTON – Empat angkasawan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selamat mendarat di Bumi semalam, selepas tempoh misi mereka dipendekkan hampir sebulan susulan masalah kesihatan yang dialami kru terlibat.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), kapsul membawa kru berkenaan dikenali sebagai Crew-11, mendarat di perairan Lautan Pasifik berhampiran pantai California sebelum mereka dibawa keluar untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagi pihak SpaceX dan NASA, selamat pulang,” kata Pusat Kawalan Misi kepada kru sejurus mereka mendarat, memetik laporan BBC.
Siaran video NASA pula menunjukkan, kapten kru, angkasawan NASA Mike Fincke, menjadi individu pertama keluar dari kapsul.
Beliau kelihatan tersenyum namun sedikit terhuyung-hayang sebelum dibaringkan di atas pengusung, selaras dengan prosedur standard selepas kepulangan dari angkasa.
Turut menyusul keluar ialah angkasawan NASA Zena Cardman; angkasawan Jepun, Kimiya Yui serta kosmonaut Rusia, Oleg Platonov yang masing-masing melambai dan tersenyum ke arah kamera.
“Seronok rasanya dapat pulang ke rumah,” kata Cardman.
Kejadian itu menandakan kali pertama angkasawan dipindahkan keluar dari ISS atas faktor kesihatan sejak stesen angkasa itu mula beroperasi di orbit Bumi pada tahun 1998.
Selepas pendaratan, kesemua kru akan menjalani pemeriksaan perubatan menyeluruh sebelum diterbangkan pulang ke daratan.
Dalam sidang media selepas pendaratan, Pentadbir NASA, Jared Isaacman memaklumkan bahawa angkasawan yang mengalami masalah kesihatan itu berada dalam keadaan baik ketika ini dan bersemangat positif.
Sementara itu, kawalan ISS telah diserahkan kepada kosmonaut Rusia Sergey Kud-Sverchkov bersama dua lagi anggota kru yang masih berada di stesen berkenaan.
Untuk rekod, keempat-empat angkasawan itu tiba di ISS pada 1 Ogos lalu dan dijadualkan menjalani misi standard selama enam bulan dengan kepulangan asal dirancang pada pertengahan Februari.
Namun, misi tersebut terpaksa dipendekkan berikutan perkembangan kesihatan yang tidak dijangka.
ISS yang didiami kru sejak tahun 2000 bertujuan untuk mempamerkan kerjasama multinasional yang menyatukan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Rusia.
Terletak kira-kira 400 kilometer di atas Bumi, ISS berfungsi sebagai makmal ujian untuk penyelidikan yang menyokong penerokaan angkasa lepas secara lebih mendalam.
ISS dijadualkan untuk ditamatkan perkhidmatannya selepas 2030 dengan orbitnya beransur-ansur diturunkan sehingga ia pecah di atmosfera kawasan terpencil Lautan Pasifik dinamakan Point Nemo iaitu kawasan perkuburan kapal angkasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




