SUKAN

Piala Dunia 2026: Ronaldo sahkan penampilan terakhir bersama Portugal

DALLAS – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia FIFA 2026 merupakan penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan karier antarabangsanya.

Pemain berusia 41 tahun itu, yang mencipta sejarah dengan membuat penampilan keenam di Piala Dunia, mengumumkan perkara tersebut pada penghujung sidang media menjelang aksi suku akhir bertemu Sepanyol.

Beliau berkata akan meninggalkan kejohanan itu dengan hati yang tenang tanpa mengira keputusan yang diraih Portugal.

“Biarlah ini menjadi Piala Dunia terakhir saya. Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.

Sebelum ini, bekas penyerang Real Madrid CF itu enggan mengesahkan sama ada edisi 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya memandangkan Piala Dunia FIFA 2030 akan berlangsung ketika usianya mencecah 45 tahun.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan beliau belum membuat keputusan mengenai persaraan sepenuhnya daripada dunia bola sepak dan akan menentukan masa depannya berdasarkan naluri sendiri.

“Saya akan menamatkan karier apabila jiwa saya sendiri membuat keputusan. Anda semua sentiasa bertanya soalan yang sama, adakah ini yang terakhir?

“Kita lihat nanti. Saya tidak mahu memberikan tumpuan kepada perkara itu. Apa juga yang berlaku selepas ini, saya hanya mahu meninggalkan pentas ini dengan hati yang benar-benar tenang.

“Apa yang pasti, saya telah memberikan segala yang saya mampu kepada bola sepak. Saya bermain selama ini kerana minat, bukannya kerana keperluan.

“Syukur, kehidupan saya sudah cukup baik, namun saya terus bermain kerana saya cintakan bola sepak dan amat berbangga mewakili skuad kebangsaan,” katanya.

Pada aksi awal pagi tadi, Portugal tewas 0-1 kepada Sepanyol menerusi jaringan pemain gantian Mikel Merino pada minit ke-91.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button