Tatakelola baik mula tunjuk hasil, ekonomi negara berkembang positif – PM
KUALA LUMPUR – Tatakelola yang semakin baik mula membuahkan hasil apabila ekonomi negara berkembang positif kebelakangan ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkembangan itu disokong dengan penggubalan dasar yang jelas terkait sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga dan semikonduktor.
Anwar berkata, semakin ramai rakyat yang menerima hakikat bahawa Malaysia memerlukan anjakan serta perubahan yang lebih rancak dan bermakna untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Jelas beliau, anjakan tersebut penting bagi memastikan negara tidak kembali kepada keadaan ekonomi yang muram dan lembap.
“Saya tegaskan bahawa penting untuk memanfaatkan kestabilan politik di Malaysia yang kita kecapi saat ini untuk memperbaiki tatakelola dan menjulang amalan pengurusan beramanah dan bertanggungjawab, dengan matlamat mengangkat martabat, darjat dan harkat negara.
“Alhamdulillah, tatakelola yang semakin baik bersama penggubalan dasar yang jelas terkait sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga dan semikonduktor mula membuahkan hasil melihat kepada perkembangan ekonomi yang positif kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Anwar dan delegasi Malaysia yang kini berada di Vientiane, Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.
Beliau sempat meluangkan masa malam tadi di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud sambil beramah mesra bersama kakitangan kedutaan.
Anwar berkata, beliau menggunakan ruang berkenaan untuk menzahirkan penghargaan atas komitmen dan khidmat cemerlang kedutaan yang memainkan peranan penting meyakinkan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Walau bagaiamanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki prestasi berkenaan.
“Saya percaya dengan semangat melaksanakan perubahan sedaya upaya dan keikhlasan berkhidmat dari hati nurani yang bersih, kita berupaya memenuhi potensi Malaysia menjadi antara negara hebat di dunia,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








