LUAR NEGARA

Sami kanan Sri Lanka digantung tugas, didakwa gangguan seksual kanak-kanak

COLOMBO – Seorang sami kanan Buddha di Sri Lanka digantung tugas oleh hierarki agama negara itu selepas berdepan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Menurut laporan media antarabangsa, Pallegama Hemarathana, 71, digantung daripada semua tanggungjawabnya termasuk sebagai penjaga utama pokok suci di Kuil Jaya Sri Maha Bodhi, Anuradhapura, sementara menunggu prosiding undang-undang selesai.

Majlis Sami bagi cabang Malwatte dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan menggantung Hemarathana dibuat sehingga kes mahkamah yang dihadapinya diputuskan.

Hemarathana ditahan polis pada 9 Mei lalu selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada 2022 di kuil berkenaan yang terletak kira-kira 200 kilometer di utara Colombo.

Beliau ditahan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Colombo ketika siasatan jenayah sedang dijalankan.

Pihak berkuasa turut menahan ibu mangsa atas dakwaan bersubahat dan membantu sami berkenaan.

Bagaimanapun, Hemarathana kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin, manakala mahkamah mengarahkan beliau tidak meninggalkan negara itu sehingga kes selesai.

Kuil Jaya Sri Maha Bodhi merupakan antara lokasi keagamaan paling penting di Sri Lanka dan menerima kunjungan ribuan penganut setiap hari.

Pokok yang dianggap suci di kuil itu dipercayai berasal daripada anak pokok yang mempunyai kaitan dengan pokok Bodhi yang pernah menaungi Guatama Buddha.

Penggantungan Hemarathana diumumkan ketika Sri Lanka menyambut Hari Vesak, iaitu perayaan memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan Buddha.

Walaupun beberapa kes penderaan kanak-kanak membabitkan tokoh agama pernah dilaporkan sebelum ini, Hemarathana disifatkan sebagai sami paling kanan yang pernah berdepan tuduhan sedemikian di negara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, bulan lalu seramai 22 sami ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Colombo selepas pihak berkuasa menemui 110 kilogram ganja yang disembunyikan dalam bagasi mereka, dalam kes penyeludupan dadah terbesar pernah direkodkan di lapangan terbang tersebut.

Kesemua mereka masih ditahan sementara menunggu pendakwaan, namun belum digantung daripada jawatan keagamaan masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button