PRN Melaka dijangka menjelang September – Ab Rauf
MASJID TANAH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan menjelang September ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, PRN tersebut perlu diadakan tanpa perlu menunggu tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung tahun ini, lapor HM Online.
“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat (penggal DUN) pada 30 Disember ini kerana (PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selewat-lewatnya Februari) itu sudah hampir masuk Ramadan.
“Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D’ Acqua Kampung Pulau, di sini malam tadi.
Pada majlis itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menerima borang keahlian UMNO daripada 190 individu dari seluruh Parlimen Masjid Tanah.
Ab Rauf yang juga Menteri Besar berkata, gerak kerja menghadapi PRN sudah dimulakan sejak tahun lalu dengan mengaktifkan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negeri.
“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lalu lagi kerana tempoh berkempen kebiasaannya hanya dua minggu.
“Insya Allah, melihat kepada penerimaan masyarakat di Melaka, kita yakin menjadi pilihan utama rakyat kerana kita berjaya membawa perubahan dalam landskap pentadbiran kerajaan negeri diterajui UMNO dan BN ketika ini,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan bergerak solo atau bersama gabungan lain pada PRN nanti, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
“Itu kita belum fikirkan lagi sama ada solo ataupun bersama. Kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman,” katanya lagi.
Pada PRN Ke-15, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





