75 peratus ahli BERSAMA bukan bekas PKR – Rafizi
IPOH – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menegaskan majoriti ahlinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus menolak dakwaan bahawa parti baharu itu ditubuhkan oleh kumpulan yang kecewa atau ‘merajuk’ daripada PKR.
Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kira-kira 75 peratus daripada lebih 20,000 ahli yang menyertai parti itu setakat ini tidak pernah menjadi anggota PKR.
Menurut beliau, persepsi bahawa BERSAMA hanya menjadi wadah kepada bekas ahli PKR yang tidak berpuas hati adalah tidak tepat dan tidak berasaskan fakta.
“Sampai sekarang yang mengkritik BERSAMA ini ada dua tiga serangan sahaja. Satu dia kata ini parti orang merajuk.
“Dia tidak sedar sebenarnya 75 peratus daripada ahli BERSAMA ini tidak pernah kena-mengena dengan PKR,” katanya dalam ceramah, di sini malam tadi.
Rafizi berkata, kemunculan BERSAMA turut didorong oleh keperluan menyediakan ruang lebih besar kepada generasi muda untuk terlibat dalam politik dan kepimpinan negara.
Beliau mendakwa kebanyakan parti politik utama ketika ini masih didominasi oleh golongan lebih berusia, sekali gus menyukarkan anak muda untuk menonjolkan kepimpinan dan idea baharu.
Menurutnya, keadaan itu boleh memberi kesan negatif kepada masa depan negara sekiranya kepimpinan terus diterajui individu yang kurang memahami aspirasi serta cabaran generasi muda.
Dalam ucapannya, Rafizi turut mengimbas penglibatan beliau dalam perjuangan politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menurutnya memerlukan keberanian mengambil risiko demi membawa perubahan kepada negara.
“Kalau fikir tentang diri sendiri saya sahaja, saya pergi jumpa Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak). Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun duduk dalam penjara (ketika itu).
“Kalau fikir pasal diri saya dan tidak kamikaze, tidaklah saya berkempen satu Malaysia untuk mengalahkan UMNO, BN dan Najib.
“Bukankah lebih mudah kalau saya lebih awal pergi jumpa Najib, kita ‘kawtim’ jangan sentuh 1MDB? Tetapi saya kamikaze (lawan) dari dahulu,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menyentuh mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata BERSAMA sedang merangka strategi terbaik sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi pada waktu yang sesuai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








