POLITIK

Jangan terpengaruh fitnah, serangan – Nurul Izzah

KUALA PILAH – Para pengundi diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan serangan pihak tertentu pada saat-saat akhir kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan fakta, prestasi dan hala tuju pembangunan negeri, bukannya dipengaruhi dakwaan yang tidak berasas, lapor SH Online.

“Jangan mudah termakan dengan fitnah, dengan serangan yang agak sengit dalam pilihan raya Negeri Sembilan ini.

“Kita mengharapkan supaya pengekalan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.

“Memang bukannya mudah, sudah tertentu, banyak dinamik, banyak cabaran tetapi saya mahu tumpukan kepada rakyat negeri sendiri. Mereka yang mampu memberi mandat dan kita mahukan semuanya dipacu oleh calon tempatan dari segi kampen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Jalinan Kasih Masyarakat Asal Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh yang turut dihadiri calon PH di DUN berkenaan, Mohd Aidil Abdullah di Kampung Orang Asli Guntur/ Chergun, di sini hari ini.

Nurul Izzah berkata, PH akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada rakyat, selain berharap pentadbiran Aminuddin dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.

Mengulas ramalan pelbagai pihak mengenai keputusan PRN, beliau berkata, apa yang lebih penting ialah rakyat membuat pilihan sendiri dan keputusan akhir tetap berada di tangan pengundi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button