Pentagon kenal pasti empat anggota tentera AS terkorban di Kuwait
WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) semalam mengumumkan identiti empat daripada enam anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang terkorban dalam serangan awal perang antara AS dan Iran.
Mereka yang dikenal pasti ialah Kapten Cody A. Khork, 35, dari Winter Haven, Florida; Sarjan Kelas Pertama Noah L. Tietjens, 42, dari Bellevue, Nebraska; Sarjan Kelas Pertama Nicole M. Amor, 39, dari White Bear Lake, Minnesota; serta Sarjan Declan J. Coady, 20, dari West Des Moines, Iowa.
Kesemua mereka maut pada Sabtu di Kuwait akibat serangan dron Iran, memetik laporan portal ABC Eyewitness News.
Menurut Pentagon, keenam-enam anggota terbabit terkorban dalam serangan yang sama di Pelabuhan Shuaiba, Kuwait iaitu sebuah pelabuhan komersial yang turut berfungsi sebagai hab logistik bagi tentera AS untuk penghantaran kenderaan taktikal dan bekalan ke rantau Asia Barat.
Semua mangsa ditugaskan di bawah 103rd Sustainment Command, sebuah unit Simpanan Tentera Darat yang berpangkalan di Des Moines, Iowa.
Dua lagi nama anggota yang terkorban belum didedahkan sementara menunggu proses pemberitahuan kepada waris terdekat.
Selain itu, seramai 18 anggota perkhidmatan dilaporkan cedera dalam serangan tersebut.
Insiden itu menjadikan enam anggota berkenaan sebagai rakyat Amerika pertama yang terkorban dalam operasi ketenteraan bersama AS dan Israel terhadap Iran.
Kempen ketenteraan bersama yang kini memasuki hari keempat menyaksikan tentera AS melancarkan lebih 1,700 serangan terhadap sasaran di Iran, dengan pertempuran dilaporkan merebak ke sekurang-kurangnya 12 negara di rantau tersebut.
Presiden Donald Trump serta pegawai kanan Pentagon memberi amaran angka korban dijangka meningkat.
“Kami menjangkakan kemungkinan kehilangan tambahan dan seperti biasa, kami akan berusaha meminimumkan korban di pihak AS,” kata Pengerusi Ketua Turus Bersama, Dan Caine kelmarin.
Konflik yang semakin memuncak itu meningkatkan kebimbangan terhadap perang serantau berskala besar di Asia Barat, dengan serangan balas dan operasi ketenteraan berterusan di beberapa lokasi strategik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








