Lelaki maut dihempap gugusan buah sawit
KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas dihempap gugusan buah sawit ketika mengambil upah memotong hasil tanaman itu di sebuah ladang sawit di FELDA Bukit Goh di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Assistan Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik ladang yang memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut beliau, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum mendapati mangsa terbaring di tepi pokok sawit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil keterangan saksi mendapati mangsa bersama dua rakannya sedang mengambil upah memotong buah sawit di ladang berkenaan ketika kejadian berlaku.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa memotong buah sawit pada ketinggian kira-kira 10 meter sebelum gugusan sawit seberat dianggarkan 15 kilogram menghempap mangsa,” katanya lagi.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








