PKR gantung segala jawatan parti Fahmi Zainol
KUALA LUMPUR – PKR menggantung segala jawatan parti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol sehingga kes mahkamah melibatkannya selesai.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, penggantungan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini.
Katanya, penggantungan itu berkuat kuasa serta merta.
“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung PKR akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, MPP juga telah membincangkan isu surat tunjuk sebab Setiausaha Agung kepada Rafizi Ramli dan jawapan yang telah diberikan.
Katanya, PKR mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti.
Pada masa sama katanya, MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat pada esok, mengecam serangan kejam Israel dan sekutunya ke atas Iran.
Berkait keanggotaan katanya, MPP telah dimaklumkan bahawa PKR telah menerima 14,225 anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 sehingga Januari lalu.
Katanya, antara anggota baharu termasuk Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Dr Sani Araby Salim Araby dan Pengurus Strategik MAPIM, Hidayat Abdullah.
Sementara itu katanya, MPP juga telah memutuskan pelantikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man sebagai ahli ex officio MPP, serta Muhd Haris Mohd Ismail (PU Haris) sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








