BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump cadang hukuman mati kepada Demokrat yang ‘menghasut’

WASHINGTON – Suasana politik Amerika Syarikat (AS) kembali tegang apabila kenyataan keras Presiden Donald Trump mencetuskan pertikaman lidah antara White House dan pemimpin Demokrat.

Krisis terbaharu itu memuncak selepas Trump mengesyorkan agar Ahli Parlimen Demokrat yang menggesa tentera menolak arahan tidak sah dijatuhi hukuman mati, sambil menuduh mereka sebagai pengkhianat dan penghasut.

Parti Demokrat kemudian mengecam ancaman tersebut yang disifatkan sebagai “amat menjijikkan”, susulan kenyataan enam Senator dan wakil rakyat parti itu melalui sebuah video dimuat naik di X pada Selasa lalu.

“Ini sangat buruk dan berbahaya kepada negara kita. Kata-kata mereka tidak boleh dibiarkan. Ia tindakan menghasut oleh pengkhianat penjarakan mereka,” tulis Trump menerusi hantaran di platform sosial miliknya, Truth Social.

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan susulan, beliau menegaskan bahawa perbuatan menghasut boleh dihukum mati.

Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt tampil menjelaskan presiden tidak berniat mahu melihat ahli Kongres dihukum mati, namun tetap membidas pemimpin Demokrat dengan mempersoalkan tindakan mereka yang didakwa menggalakkan keganasan.

Parti Demokrat pula membalas dengan lebih keras, menuduh Trump bertindak keterlaluan.

“Trump baru sahaja menggesa hukuman mati terhadap pegawai Demokrat yang dipilih rakyat. Amat menjijikkan,” tegas parti itu menerusi akaun rasmi X.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button