POLITIK

Mustapha dilantik Pengerusi PH Sabah

KOTA KINABALU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud hari ini dinamakan sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah susulan penstrukturan semula kepimpinan selepas Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertindak meninggalkan gabungan itu.

Mustapha yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bersama parti-parti komponen lain iaitu DAP, Amanah dan PKR, lapor SH Online.

“Kita baru bermesyuarat bersama rakan-rakan parti komponen dan telah membuat keputusan untuk mengisi jawatan yang kosong selepas UPKO membuat keputusan untuk keluar,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat turut bersetuju melantik Abdul Razak Jamil sebagai Setiausaha Agung dan Zaidi Jatil daripada PKR sebagai Ketua Pemuda.

Sementara itu, Ketua Wanita Jenny Lasimbang serta timbalan pengerusi kekal dalam kalangan ketua-ketua parti komponen.

Mustapha berkata, penstrukturan semula itu turut menjadi sebahagian persediaan menghadapi PRU yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Kita turut membincangkan apa yang berlaku pada PRN lalu dan itu antara sebab kita rombak serta susun semula kepimpinan untuk berdepan PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, sesi ‘post-mortem’ telah diadakan bagi meneliti isu-isu utama yang dibangkitkan rakyat pada pilihan raya lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button