Penerima bantuan di DUN Rim kekal terima sumbangan, tiada barangan disita – Siti Aishah
RIM – Semua individu yang tersenarai sebagai penerima bantuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim kekal menerima bantuan masing-masing meskipun isu dakwaan pelanggaran Akta Pilihan Raya membabitkan pengagihan bantuan berkenaan sedang disiasat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, perkara itu disahkan menerusi rujukannya dengan Pegawai Penyiasat (IO) yang mengendalikan kes berkenaan.
Beliau turut menjelaskan tiada sebarang barangan daripada kotak makanan yang dipersoalkan itu diambil atau disita pihak berkuasa.
Menurutnya, dakwaan bahawa laporan polis berkenaan menyusahkan penerima bantuan perlu diperjelaskan kerana bantuan terbabit tetap disalurkan kepada individu yang layak.
“Rujukan saya dengan Pegawai Penyiasat (IO) yang bertugas bagi isu pelanggaran Akta Pilihan Raya di DUN N.25 Rim mengesahkan bahawa semua individu yang berada dalam senarai penerima bantuan kekal menerima bantuan yang diberikan.
“Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada sebarang barangan daripada kotak makanan terbabit yang diambil atau disita oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ketua Pengarah Kempen PH bagi DUN Rim, Heikarl Edzha Zaini, menyerahkan laporan berserta bukti bergambar kepada SPR Melaka bagi menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan penyogokan dan salah guna premis serta kemudahan kerajaan negeri membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira.
Baca juga : PH buat laporan, gesa SPR siasat dakwaan salah guna premis kerajaan di DUN Rim
Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, tindakan berkenaan tidak akan berlaku sekiranya tiada pelanggaran Akta Pilihan Raya dilakukan, selain menegaskan bantuan kepada rakyat tidak sepatutnya dipolitikkan.
Beliau turut mengingatkan calon supaya tidak menjadikan rakyat sebagai alasan untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang pilihan raya.
“Pesanan saya kepada Saudari Dira, jangan menjadikan rakyat sebagai alasan untuk kita melakukan sesuatu yang salah.
“Kita seharusnya lebih memahami peraturan dan akta yang mengikat kita sebagai calon dalam pilihan raya, dan inilah yang kita namakan sebagai disiplin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih menunggu sebarang pemakluman berhubung perkembangan siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, satu laporan rasmi berhubung isu berkenaan turut dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau berharap siasatan secara telus dan terperinci dapat dijalankan dengan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














