PRN Melaka: Pu Long Suan tawar tiga fokus perubahan di Duyong
MELAKA – Penambahbaikan aliran trafik, sistem saliran dan peluang ekonomi penduduk menjadi tiga fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Pu Long Suan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, ketiga-tiga perkara itu dirangka menerusi pendekatan mudah diingati iaitu ‘Satu, Dua, Tiga’ bagi memudahkan pengundi memahami tawaran yang dibawanya.
Menurutnya, antara isu utama yang sering dibangkitkan penduduk ialah kesesakan lalu lintas di simpang Sri Duyung menghala ke Jalan AMJ dan Ayer Keroh, terutama pada waktu pagi dan petang.
“Setiap pagi ketika pergi kerja dan menghantar anak ke sekolah, simpang berkenaan memang agak sibuk. Begitu juga pada waktu petang apabila penduduk pulang bekerja.
“Keadaan permukaan jalan yang tidak rata juga antara perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya pada sidang media di BGU PH Melaka hari ini.
Long Suan berkata, masalah saliran di kawasan perumahan Sri Duyung dan Kampung Bukit Duyung turut memerlukan perhatian bagi mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat.
“Pembinaan longkang baharu di Kampung Bukit Duyong perlu dilengkapkan dengan sistem saliran bersambung hingga ke saluran pelepasan air supaya alirannya lebih lancar.
“Walaupun ada longkang baharu dibina, masih terdapat bahagian yang belum bersambung sepenuhnya dengan saliran sedia ada.
“Perkara ini perlu ditambah baik supaya air dapat mengalir keluar dengan cepat dan tidak melimpah hingga menyebabkan banjir,” katanya.
Mengulas fokus ketiga, beliau mahu kemudahan perniagaan untuk usahawan kecil dan peniaga tempatan dipertingkatkan menerusi penyediaan ruang niaga yang lebih teratur serta selesa.
Selain itu, peluang latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperluaskan kepada golongan belia, wanita dan ibu tunggal bagi membantu meningkatkan pendapatan.
“Golongan ibu tunggal bukan sahaja perlu menguruskan keluarga, malah perlu mencari rezeki untuk menyara kehidupan.
“Jika kita dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran, termasuk memasak dan pemasaran produk melalui media sosial, ia boleh menjadi salah satu usaha meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau turut mahu kemudahan rekreasi dan infrastruktur di kawasan perumahan ditambah baik, termasuk kawasan tasik di Taman Semabok Perdana serta Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit.
“Kawasan berkenaan berpotensi dijadikan tempat riadah lebih selesa untuk penduduk selain menyediakan ruang perniagaan yang lebih tersusun kepada peniaga.
Pu Long Suan, 43, yang juga seorang usahawan berkata, beliau bersyukur diberikan kepercayaan parti untuk bertanding di DUN Duyong dan bertekad memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Gunaan dari Universiti Malaya berkata, penglibatannya dalam aktiviti politik bermula pada 2018 selepas sekian lama mengikuti perkembangan politik dan menghadiri ceramah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














