1,799 guru belum disahkan dalam perkhidmatan kerana gagal penilaian wajib
KUALA LUMPUR – Seramai 1,799 daripada 1,832 guru yang masih belum memenuhi syarat pengesahan dalam perkhidmatan didapati gagal dalam penilaian wajib.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, angka berkenaan mewakili 98.2 peratus daripada guru yang belum melengkapkan syarat setakat 30 Sept lalu, dengan sebahagian besar kegagalan melibatkan komponen kefahaman dalam Program Transformasi Minda (PTM).
Beliau berkata satu kumpulan berasingan membabitkan 7,723 pegawai perkhidmatan pendidikan pula sedang melalui proses pengesahan.
“Antara faktor yang menghalang pegawai perkhidmatan pendidikan seramai 1,799 orang daripada disahkan jawatan adalah tidak lulus peperiksaan yang ditetapkan, khususnya komponen kefahaman dalam penilaian PTM,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
Fadhlina menjawab sedemikian kepada soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta perincian mengenai bilangan guru yang masih menunggu pengesahan dalam perkhidmatan mengikut negeri dan tempoh perkhidmatan, serta faktor kelewatan tersebut.
Selain mereka yang gagal penilaian berkenaan, seramai 29 guru dikenakan pelanjutan tempoh percubaan tanpa denda, manakala tiga orang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda.
Seorang lagi guru dibekukan tempoh percubaannya.
Fadhlina menjelaskan, guru perlu memenuhi beberapa syarat sebelum diperakukan untuk disahkan sebagai anggota tetap dalam perkhidmatan awam.
Syarat-syarat tersebut merangkumi tempoh percubaan antara satu hingga tiga tahun, hadir dengan jayanya kursus induksi atau PTM, serta memperoleh perakuan sokongan daripada ketua jabatan.
Mereka juga perlu memenuhi apa-apa syarat tambahan yang ditetapkan di bawah skim perkhidmatan masing-masing.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan urusan pelantikan, pengesahan jawatan dan penempatan guru dikendalikan secara sistematik serta mengikut peraturan sedia ada.
“Kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan SPP dan semua pihak berkepentingan bagi mempercepat penyelesaian kes-kes tertangguh, sambil memastikan kebajikan guru sentiasa terpelihara dan keperluan pembelajaran murid di seluruh negara terus diberi keutamaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













