BERITA SEMASA

KPM siasat dakwaan guru suruh pelajar “balik ke China”

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) difahamkan sedang melaksanakan siasatan dalaman berhubung rakaman klip audio dipercayai seorang guru didakwa mengaku memberitahu seorang pelajar sekolah menengah “boleh balik ke China” kerana tidak memahami bahasa Melayu.

Portal FMT yang memetik sumber berkata, KPM merancang mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat bagi mencari penyelesaian, termasuk menyediakan khidmat sokongan psikososial.

“KPM melaksanakan pelbagai program latihan khusus untuk meningkatkan profesionalisme, kompetensi dan etika keguruan.

“Ini termasuk latihan pedagogi yang turut merangkumi aspek komunikasi dalam bilik darjah,” kata laporan itu lagi.

Kata sumber lagi, KPM tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan berunsur perkauman dalam ekosistem pendidikan dan menegaskan, institusi pendidikan kerajaan perlu dipastikan selamat, inklusif dan menghormati kepelbagaian bangsa, agama serta latar belakang pelajar.

Dalam klip audio yang menjadi tular di media sosial itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai saudara kepada pelajar terbabit meminta guru itu mengesahkan melalui telefon sama ada dia memberitahu mangsa “boleh balik ke China”.

Guru berkenaan kemudian mengakui berbuat demikian.

Guru itu turut didakwa melabelkan pelajar terbabit sebagai “bodoh” dan menyuruhnya “duduk dekat tong sampah”.

Guru berkenaan kemudian didakwa berkata, ini bukan kali pertama dia bercakap demikian dengan pelajar dan tiada aduan dibuat terhadapnya kerana berbuat demikian dahulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button