BERITA SEMASA

Guru langgar disiplin tidak akan naik pangkat secara ‘time-based’ – PM

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menegaskan guru yang cuai, melanggar disiplin dan mempunyai prestasi lemah tidak layak untuk menikmati kemudahan kenaikan pangkat secara ‘time-based’.

Anwar berkata, meskipun kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara ‘time-based’, ia tidak akan terpakai bagi guru yang gagal menepati standard disiplin dan prestasi.

“Kalau disiplin guru lemah dan dalam setahun tidak hadir ke sekolah banyak kali, saya akan batalkan (kenaikan pangkat ‘time-based’).

“Jadi, kita harus teliti, tetapi saya percaya 90 peratus guru tidak mempunyai masalah,” katanya Anwar semasa berucap di majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), di sini hari ini.

Anwar menekankan tugas guru adalah untuk mendidik pelajar dengan elemen kemanusiaan, maka guru harus dihormati dan dikasihi.

“Saya sampai sekarang masih menghormati dan mengingati guru-guru saya di Sekolah Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam Boys School, Malay College Kuala Kangsar, dan Universiti Malaya (UM). Tanpa mereka, selain ibu bapa, tidak mungkin saya berada di sini hari ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan kebajikan para guru harus dipertahankan, sambil menekankan keperluan untuk perubahan dalam sistem pendidikan.

“Malaysia mempunyai keupayaan untuk meningkatkan martabat bangsa dan negara dalam aspek ekonomi, politik, sosial, dan pendidikan. Untuk mencapai kemajuan, kita mesti tegas dan tidak boleh dengan budaya lembab seperti sekarang,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmennya terhadap bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi, tetapi menegaskan tiada halangan untuk mengembangkan bahasa Cina, Tamil, Arab atau bahasa lain.

Beliau juga menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris untuk melonjakkan ekonomi negara menuju transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Arahan saya kepada Kementerian Pendidikan adalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris segera supaya negara dapat bersaing. Namun, penguasaan Bahasa Melayu juga harus ditingkatkan kerana keupayaan anak perlu ada,” tambahnya.

Merujuk kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Anwar menyatakan skim itu adalah antara yang terbaik pernah diumumkan kerajaan.

Beliau berharap ia dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam serta menghentikan amalan tidak baik.

Beliau mengakui l rancangan tersebut mendapat kritikan, tetapi komitmen kerajaan untuk melaksanakannya tetap utuh, memandangkan penjawat awam sudah 12 tahun tidak merasai kenaikan gaji.

Anwar juga menyatakan l dua cadangan NUTP akan dibawa untuk perbincangan, termasuk membenarkan guru penolong di sekolah rendah gred DG48 memegang jawatan sebagai penolong kanan dan membenarkan guru besar di sekolah rendah yang telah naik ke gred DG52 secara ‘time-based’ terus memegang jawatan itu sehingga ke gred DG54.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button