BERITA SEMASAPMX

PM manfaatkan hari cuti tinjau operasi ETS3

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan cuti panjang sempena Hari Wilayah dan perayaan Thaipusam dengan meninjau operasi perkhidmatan ETS3 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Dalam tinjauan tersebut, beliau turut meluangkan masa menyantuni para penumpang serta mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas mereka berhubung mutu perkhidmatan yang disediakan.

Menurut Anwar, respons yang diterima amat memberangsangkan, khususnya berkaitan tahap keselesaan serta pengalaman perjalanan yang disifatkan lebih lancar dan tersusun.

“Alhamdulillah, respons yang diterima amat memberangsangkan, khususnya terkait tahap keselesaan serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tersusun,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh perkhidmatan awam yang selamat, cekap dan mesra rakyat demi kesejahteraan pengguna.

Anwar Ibrahim meninjau operasi ETS3 Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Foto : FB Anwar Ibrahim

ETS3 bagi laluan KL Sentral–Johor Bahru mula beroperasi sejak 12 Disember tahun lalu.

Perkhidmatan ini dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan kepada sekitar 4.5 jam, berbanding perjalanan jalan raya semasa antara lima hingga tujuh jam.

Dengan adanhya perkhidmatan ini, rangkaian kereta api di pantai barat Semenanjung kini beroperasi sepenuhnya di atas landasan berkembar elektrik dari Padang Besar di utara hingga Johor Bahru yang bersempadan dengan Singapura.

Hari Thaipusam lazimnya menyaksikan peningkatan pergerakan rakyat merentas negeri, sekali gus menjadikan perkhidmatan pengangkutan awam antara mod utama yang digunakan orang ramai sepanjang cuti perayaan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button