BERITA SEMASAPMX

Belanjawan 2027: Kerajaan sedia RM425 juta perkukuh sektor agrikomoditi

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia memperuntukkan RM425 juta kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi pelaksaan empat inisiatif memperkukuh sektor agrikomoditi, khususnya dalam membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan memperkasakan usahawan hiliran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027 itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh sektor berkenaan menerusi peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi serta pembangunan rantaian nilai yang lebih berdaya tahan.

“Keutamaan pertama kita ialah pembasmian kemiskinan. Kedua, untuk membantu peniaga kecil daripada pengusaha warung dan restoran, sehinggalah pekedai kecil kerana masalah mereka juga semakin meningkat,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim bersama Noraini Ahmad pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di Putrajaya, hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM17.05 juta diperuntukkan untuk Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi bagi membantu mengembangkan aktiviti hiliran dalam sektor berkenaan.

Seterusnya, RM28.57 juta disediakan menerusi Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi bagi menangani risiko bencana serta penyakit yang boleh menjejaskan pengeluaran dan pendapatan pengusaha.

Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan menerusi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian, manakala RM280 juta diperuntukkan bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0.

Anwar berkata, Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) juga akan diteruskan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti serta pendapatan dalam tempoh jangka panjang.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, penyediaan dan penambahbaikan jalan ladang dijangka memberi impak secara langsung kepada produktiviti pekebun kecil, khususnya menerusi penyediaan infrastruktur asas yang bersesuaian dengan keperluan kawasan ladang.

“Disebabkan itu saya kata jalan-jalan ini perlu (ditambah baik) dengan kadar yang sederhana, tidak terlalu canggih, dan PTSS untuk kebun kecil yang berdepan dengan kekangan modal, tetapi bagi tanaman sekitar 10 hingga 40.46 hektar. Ini yang dirumuskan oleh KPK,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan benar-benar memberi kesan kepada produktiviti serta pendapatan golongan pekebun kecil.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, sokongan terhadap pekebun kecil perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi untuk memastikan pertumbuhan industri turut memberi manfaat kepada golongan itu.

Beliau berkata, kerjasama antara industri, penyelidik, usahawan dan masyarakat amat penting dalam mempercepat penggunaan teknologi dan pembangunan produk agrikomoditi.

Belanjawan 2027 dijaduallkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, 9 Oktober 2026.

Tarikh berkenaan disahkan Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan rasmi berkaitan sesi libat urus Belanjawan 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button