BERITA SEMASA

PM arah KSN, ketua jabatan teliti impak AI terhadap produktiviti kerajaan dalam tempoh sebulan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta semua ketua jabatan di setiap kementerian supaya meneliti kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI) terhadap tahap produktiviti kerajaan dalam masa sebulan.

Menurut beliau, laporan antarabangsa menunjukkan wujud fenomena yang digelar AI Productivity Paradox, iaitu keadaan di mana kehadiran teknologi AI dijangka mampu melonjakkan prestasi, namun peningkatan produktiviti sebenar tidak berlaku secara menyeluruh.

“Saya minta KSN dan semua ketua jabatan menilai perkara ini dalam tempoh dua minggu hingga sebulan serta mengemukakan cadangan awal bagaimana kita boleh mengatasinya.

“Jangan ulangi kesilapan yang pernah dialami syarikat gergasi dunia,” tegasnya.

Anwar menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar bagi melaksanakan agenda Transformasi Digital dan AI untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi pelaksanaan mesti dipastikan benar-benar memberi kesan menyeluruh terhadap perkhidmatan awam.

“Matlamat utama kita melancarkan program Transformasi Digital dan AI adalah untuk meningkatkan hasil serta produktiviti. Ada peningkatan, tetapi jika dilihat secara keseluruhan, ia masih belum tercapai.

“Inilah paradoks yang dimaksudkan tapi janji peningkatan produktiviti melalui AI tidak semestinya berlaku.

“Sebab itu, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada analisis yang dibentangkan, termasuk dapatan United Nations University dan pengalaman JP Morgan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button